RUU Kawalan Produk Merokok dibawa ke Parlimen

- Advertisement -

Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang merangkumi peruntukan Generasi Penamat Rokok adalah merupakan satu usaha daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak lebih daripada 10 tahun untuk mengurangkan dan menamatkan masalah merokok yang membelenggu kesihatan rakyat Malaysia.

Pengenalan RUU ini adalah merupakan langkah proaktif dalam melindungi generasi muda Malaysia daripada terus menjadi mangsa ketagihan produk merokok. Buat masa sekarang, Malaysia tidak mempunyai satu akta khas yang boleh mengawal selia semua jenis produk merokok. Peraturan sedia ada iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 hanya boleh mengawal selia hasil tembakau.

RUU ini mempunyai dua komponen utama iaitu kawal selia terhadap semua jenis produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape, dan komponen peruntukan Generasi Penamat Rokok, yang telah berjaya menarik perhatian masyarakat baik di dalam mahupun luar negara.

Melalui kawal selia terhadap produk merokok, aktiviti penjualan dapat dikawal berdasarkan kehendak peraturan yang digariskan oleh Kerajaan. Selain itu, aktiviti yang akan menggalakkan penggunaan produk berbahaya ini kepada masyarakat seperti pengiklanan, promosi besar-besaran seperti ekspo pameran, penjualan secara dalam talian dan penajaan adalah DILARANG.

Peruntukan Generasi Penamat Rokok pula adalah satu usaha secara penting yang mencerminkan komitmen Kerajaan dalam melindungi generasi muda Malaysia daripada terus terjebak dengan aktiviti merokok.

Peruntukan ini akan melarang generasi yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya iaitu anak-anak yang berumur 16 tahun ke bawah pada ketika ini daripada sebarang bentuk penggunaan produk merokok.

Sudah semestinya apabila sesuatu undang-undang ingin diperkenalkan oleh Kerajaan yang akan memberikan impak kepada sesetengah pihak seperti industri tembakau dan rokok elektronik, ada pihak yang akan menyuarakan bantahan.

Antara isu yang dibangkitkan adalah pelaksanaan Generasi Penamat Rokok ini akan menjejaskan pendapatan negara, meningkatkan kebolehdapatan rokok tidak sah di pasaran, menyekat kebebasan hak individu untuk memilih, dilaksanakan secara terburu-buru dan golongan Generasi Penamat Rokok yang merokok dilayan seperti penjenayah.

Apakah fakta sebenarnya?

Pelaksanaan Generasi Penamat Rokok adalah kepada kumpulan generasi yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya sahaja. Oleh itu, generasi perokok sedia ada yang lahir sebelum tahun 2007 masih boleh merokok dan pihak industri masih mempunyai pelanggan daripada kelompak generasi ini selama tempoh lebih 50 tahun.

Justeru dakwaan mengatakan pelaksanaan Generasi Penamat Rokok akan menjejaskan pendapatan negara susulan industri ini tidak lagi mempunyai pelanggan adalah kurang tepat. Namun, satu perkara yang perlu diketahui semua adalah produk merokok yang digunakan oleh perokok itu sendiri membunuh lebih daripada separuh penggunanya.

Pelaksanaan Generasi Penamat Rokok dikatakan akan meningkatkan produk rokok tembakau dan rokok elektronik tidak sah di pasaran. Dakwaan akan berlakunya peningkatan rokok tidak sah sebenarnya sering kali dijadikan hujah oleh pihak industri setiap kali sesuatu peraturan atau undang-undang yang lebih ketat ingin diperkenalkan.

Dakwaan ini adalah bertujuan untuk menakutkan kerajaan akan berlakunya ketirisan terhadap pendapatan negara akibat kekurangan kutipan cukai.

Fakta sebenarnya, isu lambakan rokok tidak sah adalah disebabkan oleh kelemahan penguatkuasaan di sempadan negara. Masalah lambakan rokok tidak sah memerlukan kawalan secara holistik yang lebih ketat oleh semua agensi penguatkuasaan yang berkaitan. Kawalan yang ketat ini akan mengekang kebolehdapatan rokok tidak sah dalam kalangan masyarakat.

Rakyat berhak untuk memilih

Dakwaan pelaksanaan Generasi Penamat Rokok akan menyekat kebebasan golongan ini untuk memilih juga tidak tidak tepat. Pelaksanaan peruntukan ini adalah merupakan suatu tindakan yang tidak melanggar hak terhadap kebebasan diri seseorang (personal liberty) seperti yang dijamin oleh Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perbuatan merokok itu sendiri diketahui umum lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan nyawa seseorang berbanding kebaikannya. Pelaksanaan Generasi Penamat Rokok mempunyai objektif yang sangat jelas dalam menurunkan peratusan merokok di Malaysia supaya komplikasi penyakit dan beban kos rawatan dapat dikurangkan.

KKM dilihat terburu-buru hendak melaksanakan Generasi Penamat Rokok

Adakah pernyataan ini benar? Tidak sama sekali, pelaksanaan peruntukan ini tidak dibuat secara terburu-buru malah telah pun dikaji dan diteliti dengan sebaik-baiknya oleh pihak KKM.

Pelbagai sesi libat urus bersama dengan semua pihak berkepentingan termasuk pihak industri telah dijalankan. Kajian dan pendapat daripada orang ramai juga telah dibuat di beberapa platform dan majoriti masyarakat termasuk golongan perokok sedia ada juga bersetuju dengan pelaksanaan peruntukan ini.

RUU ini telah dibentangkan semasa sesi sidang Parlimen pada tahun 2022 dan seterusnya telah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang mana turut telah meneliti dan menyemak segala peruntukan dalam RUU ini. Jawatankuasa tersebut juga telah bersetuju untuk mengekalkan peruntukan Generasi Penamat Rokok dalam RUU ini.

Generasi Penamat Rokok yang merokok sebagai penjenayah?

Dakwaan ini adalah tidak tepat sama sekali. Generasi Penamat Rokok yang melakukan kesalahan dibawah RUU ini tidak akan dianggap sebagai penjenayah. Kesalahan membeli dan merokok oleh golongan ini adalah kesalahan yang boleh dikenakan kompaun dan tiada hukuman penjara.

Malah peruntukan perintah khidmat masyarakat juga turut dimasukkan sebagai salah satu alternatif denda kepada golongan ini yang melanggar peraturan.

Kesimpulannya, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan pelaksanaan Generasi Penamat Rokok adalah satu langkah penting dalam melindungi generasi muda daripada ancaman bahaya pelbagai jenis produk merokok.

Marilah kita bersama-sama menyokong usaha ini dan memastikan generasi muda kita tumbuh dalam lingkungan yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dan akan membawa kepada masa hadapan depan yang lebih sihat dan produktif.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat