Sultan Perak titah RM14.6 juta bantu rakyat terjejas

- Advertisement -

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan penyediaan dana khas berjumlah RM14.6 juta khusus bagi membiayai keperluan rakyat terjejas, selain menjaga kebajikan petugas keselamatan dan barisan hadapan menangani penularan COVID-19.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, berkata penyediaan dana itu khusus dititahkan kepada MAIPk merangkumi bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta dan RM600,000 bagi tajaan peralatan kesihatan serta perubatan diperlukan segera Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Selain itu, beliau berkata, RM400,000 adalah sumbangan untuk petugas barisan hadapan, bantuan pakej tablet dan data internet untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian serta pelajar sekolah (RM1.5 juta), bantuan kebajikan pelajar luar negara (RM200,000) dan sumbangan untuk pusat jagaan anak yatim, rumah orang tua, serta warga emas Islam (RM400,000).

Turut dirangkumkan dalam dana khas terbabit adalah tajaan bekalan makanan institusi pendidikan (RM200,000), sumbangan kepada pusat gelandangan sementara di bawah kendalian kerajaan negeri (RM200,000) dan sumbangan untuk program vaksinasi COVID-19 MAIPk yang menyasarkan kumpulan dikenal pasti perlu segera menjalani vaksinasi (RM200,000).

“Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Sultan Nazrin memahami kesan langsung yang menjejas hidup rakyat terutama dalam kalangan asnaf fakir miskin dan mereka yang tidak pendapatan tetap.

“Baginda turut memahami tugas berat sedang dihadapi petugas barisan hadapan yang memerlukan peralatan rawatan dan perubatan tertentu untuk menangani wabak, selain peka terhadap kebajikan petugas pasukan keselamatan yang berada di barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi bantuan kecemasan kelangsungan hidup, ia disasarkan kepada ketua isi rumah dan penerima bantuan kewangan bulanan MAIPk yang terjejas sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji atau sebab lain yang munasabah.

Katanya, untuk bantuan pakej tablet dan data internet, ia disasarkan kepada usahawan kalangan asnaf, selain pelajar Tingkatan Lima dalam kalangan ketua isi rumah fakir miskin.

“Untuk tajaan bekalan makanan institusi pendidikan pula, ia dikhususkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah tahfiz di Perak yang perlu menginap di tempat pengajian ketika PKP berkuat kuasa,” katanya.

Mohd Annuar berkata, MAIPk turut memberikan pengecualian bayaran sewa dan pajakan hartanah wakaf berjumlah RM98,000 dan hartanah baitulmal berjumlah RM50,000 di premis serta tapak perniagaan MAIPk bagi bulan ini.

“MAIPk akan mengkaji tempoh pengecualian bayaran sewa dan pajakan, tertakluk sama ada tempoh PKP 3.0 akan dilanjutkan (atau sebaliknya),” katanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat