Kota Kinabalu, – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menganggap pengundi Sabah sudah cukup matang untuk membuat keputusan tanpa sentimen dan emosi.
Dalam kenyataan terbarunya di media sosial, bekas Ketua Menteri Sabah itu menyifatkan suasana politik negeri sebagai semakin hidup, dengan pelbagai parti politik mula menunjukkan gerak kerja awal, termasuk turun padang dan mengibarkan bendera parti.
“Suka atau tidak, PRN Sabah bakal diadakan tahun ini. Suasana politik makin rancak pemimpin mula turun padang, bendera parti mula berkibar, dan suara kempen semakin jelas kedengaran,” katanya.
Beliau melihat fenomena ini sebagai petanda positif dalam sistem demokrasi yang sihat, di mana pelbagai parti tampil dengan dasar dan tawaran masing-masing sama ada bersendirian mahupun dalam bentuk gabungan.
Salleh turut menyeru agar perbezaan pendapat dan persaingan politik ditangani dengan adab serta kematangan, bukannya melalui serangan peribadi atau fitnah yang boleh memecah-belahkan rakyat.
“Yang penting, biarlah ia berlaku secara matang dan sihat bukan dengan caci maki atau fitnah,” katanya lagi.
Dalam pemerhatiannya, rakyat Sabah kini sedang menilai bukan sekadar parti, tetapi juga calon serta barisan kepimpinan yang diketengahkan.
Menurut Salleh, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada pengundi muda dan pengundi kali pertama, yang dilihat mampu memberi impak besar kepada keputusan pilihan raya kali ini.
“Persoalannya apakah yang akan jadi pertimbangan rakyat, khususnya pengundi muda dan mereka yang pertama kali mengundi? Adakah mereka melihat pada rekod khidmat, keikhlasan, tawaran ekonomi, atau hanya ikut arus popular?” soal beliau.
Salleh mengingatkan bahawa demokrasi hanya akan bermakna jika rakyat diberikan pilihan yang jelas dan semua pemimpin bersaing secara sihat, demi kebaikan negeri.
“Akhirnya, bukan siapa paling lantang, tetapi siapa paling ikhlas dan mampu memikul amanah. Rakyatlah hakim yang akan menentukan masa depan Sabah,” katanya.
Tulisan Salleh ini mungkin sebahagian respon kepada usaha meningkatkan sentimen parti lokal selepas pengumuman kerjasama Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH). -SuaraTV