TPM, Jemaah Menteri rakam ucapan takziah kepada keluarga mendiang Mutang Tagal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Barisan jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 11.46 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata segala khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada masyarakat dan negara akan sentiasa dikenang selamanya.

“Saya mengenali mendiang sebagai seorang tokoh yang amat disegani dan disayangi. Mendiang merupakan Speaker Dewan Negara yang ke-20 dan telah dilantik pada Februari 2024 lepas. Sesungguhnya pemergian mendiang adalah satu kehilangan yang besar buat negara,” katanya.

Beliau berharap seluruh ahli keluarga mendiang diberikan kekuatan dan tabah menghadapi ujian ini.

Seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula menyifatkan pemergian Mutang, 69, sebagai satu kehilangan besar bagi kerajaan negeri Sarawak.

“Sarawak kehilangan seorang tokoh dan pemimpin disegani, yang telah banyak menyumbang bakti kepada pembangunan negara dan Sarawak khususnya.

“Salam takziah saya ucapkan buat seluruh ahli keluarga mendiang. Moga mereka terus tabah dan bersabar menerima ujian ini,” kata pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menerusi hantaran Facebook beliau itu.

Mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak, merupakan orang Dayak pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak pada tahun 1982 hingga 1990.

Turut mengucapkan takziah Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, yang menyifatkan jasa dan sumbangan mendiang kepada Sarawak dan negara adalah sangat besar dalam membantu parti dan komuniti Lun Bawang dalam mengetengahkan peranan mereka dalam membangunkan Sarawak.

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan GPS itu berkata, beliau secara peribadi terkesan dengan pemergian Mutang kerana mendiang bukan hanya sekadar rakan seperjuangan di dalam politik malah merupakan kenalan rapatnya dan seluruh ahli keluarga.

“Mendiang bukanlah satu figura asing kepada saya. Saya masih ingat sejarah penglibatan beliau di dalam politik Sarawak. Ayah saya Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi yang merupakan Setiausaha Agung PBB pada ketika itu telah memainkan peranan penting membawa mendiang menyertai PBB pada tahun 70an, sebelum menjadi wakil rakyat.

“Saya mendoakan semoga semua ahli keluarga mendiang dan seluruh komuniti Lun Bawang diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” kata Ahli Parlimen Kapit itu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam kenyataan menerusi Facebook pula berkata beliau mengenali mendiang dari masa sebelum Mutang menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

“Beliau sebelum ini banyak berkongsi pandangan kepada saya tentang isu-isu ekonomi, khususnya yang melibatkan komuniti Dayak di Sarawak,” katanya.

Turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Mutang di Facebook, Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Kapit,“ Datuk Aaron Ago Dagang. Beliau berkata pemergian Yang Dipertua Dewan Negara itu pastinya meninggalkan seribu satu kenangan buat beliau dan rakan-rakan seperjuangan.

Sementara itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang atas pemergian Mutang menerusi ciapan di platform X hari ini.

“Semoga keluarga mendiang diberikan kekuatan serta kesabaran menghadapi dugaan ini. Thank you sir, for your service to the nation,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga antara yang memuat naik hantaran di platform X bagi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Ucapan takziah dizahirkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat