MEMULIHKAN DASAR LUAR MALAYSIA

- Advertisement -

OLEH AB JALIL BACKER

Sepanjang dua tahun lalu, hubungan luar Malaysia dengan beberapa negara seperti Arab Saudi, India, Amerika Syarikat dan China berada dalam keadaan yang agak dingin kerana sikap melupakan jalan-jalan diplomasi untuk meraih keuntungan politik tempatan.

Hubungan Malaysia – Arab Saudi merupakan paling kritikal berikutan beberapa keputusan dan kenyataan ahli kabinet ketika itu yang bersifat ‘mahu mencari gaduh’.

Pada Ogos 2018 pentadbiran lepas telah menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) dan memanggil pulang pasukan tentera Malaysia di Riyadh, Arab Saudi. Kedinginan hubungan ini bukanlah kepada keputusan tersebut, tetapi lebih kepada cara pengumuman kedua-dua keputusan ini dibuat dan diumumkan kepada media.

Ini telah menimbulkan desas desus bahawa Arab Saudi mahu menarik balik pelaburan Aramco di Rapid Pengerang.

Walaupun desas-desus ini tidak menjadi kenyataan, namun Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman telah membatalkan lawatan baginda ke Malaysia pada Februari 2019, namun langsung singgah di Indonesia.

Hubungan dengan India turut dingin berikutan beberapa siri kritikan keras pentadbiran lalu terhadap negara itu. Ini diikuti dengan tindak balas India secara tidak rasmi dalam perdagangan minyak sawit.

Majalah The Diplomat (20 April 2020) menyifatkan “India’s relations with Malaysia took a downward path under the previous Pakatan Harapan government headed by Mahathir Mohamad.”

Diplomatik Telesidang

Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien mengambil alih jawatan Menteri Luar Negeri pada Mac lalu ketika Malaysia dan dunia sedang menuju ke arah sekatan pergerakan. Ini menyebabkan beliau tidak mempunyai kesempatan melakukan lawatan kerja bagi memperbaiki hubungan diplomatik.

Dalam masa yang sama Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) pula perlu membantu rakyat Malaysia yang terperangkap di seluruh dunia. Ini bukan jalan mudah kerana ia membabitkan pelbagai karenah birokrasi susulan sekatan perjalanan oleh sebahagian besar negara.

Namun pengalaman dan jaringan antarabangsa Hishamuddin ketika menjadi Menteri Pertahanan telah memberi kelebihan kepada Wisma Putra. Rangkaian antarabangsa Hishammudin dan kecekapan kakitangan Wisma Putra termasuk kedutaan di luar negara telah memungkinkan banyak karenah biroksi diselesaikan melalui telesidang (teleconferencing) sahaja.

Dalam keadaan hubungan dingin, Hishammudin berjaya menguruskan kepulangan 80 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi dengan perjalanan ini dibiayai sepenuhnya oleh Arab Saudi.

Wisma Putera dengan kerjasama Parti Kongres India Malaysia (MIC) dan pelbagai pihak turut berjaya membawa pulang ribuan rakyat Malaysia, terutama pelajar, yang terkandas di India sejak sekatan pergerakan Mac lalu.

Wisma Putra turut meyakinkan Kerajaan India untuk memberi ruang kepada Malaysia menghulurkan bantuan konsular kepada Jemaah Tabligh Malaysia yang ditahan bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara. Ini termasuk pemberian bantuan dari segi makanan, ubat-ubatan, barangan asas harian dan bantuan guaman.

Melihat media sosial Hishammuddin sepanjang dua bulan ini tidak kurang 100 telesidang telah diadakan dengan rakan sejawat dan diplomat asing bagi memudahkan urusan membawa pulang lebih 14 ribu orang warga Malaysia yang berada di 70 buah negara asing.

Tidak cukup isu pandemik ini, hubungan luar turut diuji dengan tindakan ‘aggresif’ kapal perang China di Laut China Selatan. Berbanding membuat kenyataan semberono seperti “when elephant fight the grass will suffer”, Hishammuddin mengingatkan China dalam bahasa diplomatik,

“Malaysia berpegang kepada pandangan bahawa Laut China Selatan seharusnya kekal aman menjadi laluan pedagang. Oleh itu apa-apa isu melibatkan Laut China Selatan seharusnya diselesaikan secara aman berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.”

Mereka yang mengkritik kenyataan ini mungkin tidak memahami bahawa tugas Menteri Luar adalah bertujuan menjaga hubungan diplomatik dan mencari jalan perdamaian, kecuali sudah diputuskan kerajaan untuk ‘bergaduh’.

Sungguhpun tempoh dua bulan terakhir ini mungkin merupakan antara detik sukar kepada seluruh kakitangan Wisma Putra, namun ia juga menunjukkan dasar luar negara kini lebih matang dan berwibawa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat