Jemaah haji, umrah berdisiplin selamatkan Malaysia daripada disenarai hitam Arab Saudi – Menteri Agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pematuhan yang baik terhadap peraturan ditetapkan Arab Saudi, terutama dalam disiplin ketika pelaksanaan ibadah umrah dan haji, menjadi faktor Malaysia tidak diletakkan dalam senarai 14 negara dikenakan larangan visa sementara oleh kerajaan negara itu.

Malah, tidak ada rakyat negara ini menjadi di antara lebih 18,000 individu yang ditahan Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini kerana melakukan pelbagai kesalahan membabitkan pelanggaran undang-undang imigresen, buruh dan keselamatan sempadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima aduan rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung pembabitan sebarang warga Malaysia atas kesalahan pelanggaran berkenaan.

“Pertamanya, saya nak sebut disini bahawa setakat ini kita tidak menerima sebarang aduan secara rasmi pembabitan jemaah haji Malaysia (melakukan kesalahan) pada tahun lepas atau tahun sebelum itu.

“Malah ini membuktikan bahawa negara kita juga tidak terbabit dalam sebahagian daripada 14 negara yang disenarai hitam atau larangan visa sementara (umrah) oleh kerajaan Arab Saudi baru-baru ini disebabkan rakyat mereka sering melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa atau ‘overstay’ sehingga menyebabkan ditahan pihak berkuasa negara itu.

“Jadi berdasarkan fakta dan statistik yang Kerajaan Arab Saudi ada itu, maka mereka ambil keputusan untuk menyenaraihitamkan 14 negara itu dan Alhamdulillah, kita tidak ada terlibat,” lapor BH di Kangar pada Khamis.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Exco Hal Ehwal Agama negeri, Muhammad Azmir Azizan dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Na’im berkata, pihaknya sering mengingatkan kepada jemaah haji dan umrah untuk sentiasa mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan oleh kerajaan negara itu.

“Malah, dalam pertemuan saya dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan al-Rabiah, sebelum ini juga mereka kerap memuji disiplin jemaah haji Malaysia. Jadi kita harapkan jemaah haji pada tahun ini akan terus kekalkan prestasi pematuhan kepada peraturan dan undang-undang yg sudah ditetapkan oleh negara itu.

“Macam saya sebut, rakyat Malaysia terkenal sebagai rakyat yang sentiasa mematuhi undang-undang apatah lagi dalam konteks kita melakukan ibadah haji dan umrah, kita nak buat kebaikan di sana (Makkah) dan sebahagian daripada kebaikan kita nak lakukan ibadah itu, janganlah pula kita langgar peraturan yang ditetapkan.

“Jadi kita kena imbangkan kepada keperluan untuk melakukan ibadah dan dalam masa yang sama kita patuhi peraturan yang ada dan setiap negara ada peraturan jadi kerajaan Arab Saudi ada tanggungjawab dia sebab itu dia letakkan peraturan itu,” katanya.

Baru-baru ini, Arab Saudi mengenakan larangan visa sementara kepada 14 negara termasuk Indonesia, Bangladesh dan India, yang bertujuan untuk membantu mengawal perjalanan ketika musim haji dan memastikan keselamatan terkawal.

Selain itu juga, kerajaan negara itu turut menahan 18,407 individu seluruh negara dalam tempoh seminggu lalu atas pelbagai kesalahan membabitkan pelanggaran undang-undang imigresen, buruh dan keselamatan sempadan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat