KOTA KINABALU – Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, menyarankan agar kerajaan negeri Sabah segera mengeluarkan Kad Pengenalan Sabah (IC Sabah) kepada warganegara Malaysia yang berasal dari negeri itu bagi menyelesaikan isu berlarutan berkaitan dokumen kewarganegaraan meragukan yang pernah dikeluarkan oleh pihak berkuasa persekutuan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut beliau, tidak perlu lagi membuang masa untuk membincangkan isu sama berulang kali memandangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing di Sabah telah mengemukakan laporan penuh serta cadangan pada tahun 2014.
“Laporan RCI lengkap dengan fakta, dokumen dan testimoni beratus saksi. Ada yang mengaku lahir di luar negara tetapi menerima MyKad dengan nombor -12-, seolah-olah lahir di Sabah. Malah, individu ini menjadi pemimpin parti politik di Sabah dan dilantik ke lembaga syarikat GLC negeri. Perkara sebegini mesti dihentikan,” katanya memetik portal berita theborneopost .
Yong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut mendedahkan bahawa terdapat pegawai kerajaan yang pernah disabitkan kesalahan kerana terlibat dalam pengeluaran dokumen palsu. Operasi membanteras sindiket IC palsu pernah dilakukan antara tahun 1995 hingga 1997, termasuk penahanan individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini dimansuhkan.
Tambah beliau, tidak ada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendaftaran Negara 1959, Akta Imigresen 1959/63 atau Akta Pasport 1966 yang menghalang kerajaan negeri Sabah daripada mengeluarkan IC sendiri, selagi ia hanya diberikan kepada warganegara Malaysia asal Sabah, dan bukannya kepada warga asing.
“IC Sabah tidak memberikan taraf kewarganegaraan kerana itu kuasa Kerajaan Persekutuan. Ia hanya untuk membezakan siapa benar-benar Sabahan,” jelas Yong.
Beliau turut menegaskan bahawa warga asing yang diberi kewarganegaraan oleh Kerajaan Persekutuan kekal sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak secara automatik menjadi rakyat Sabah. Oleh itu, mereka masih perlu mematuhi kawalan imigresen negeri.
Yong juga menyatakan bahawa rakyat dari Semenanjung dan Sarawak yang sudah lama menetap di Sabah boleh dipertimbangkan untuk mendapat IC Sabah mengikut budi bicara kerajaan negeri sahaja.
Menyifatkan isu ini sudah terlalu lama dibincangkan tanpa tindakan nyata, beliau menggesa agar kerajaan Sabah berhenti menggali isu lama tanpa penyelesaian konkrit, sebaliknya bertindak segera bagi menyelesaikan masalah harian rakyat berkaitan ekonomi dan infrastruktur.
“Adakah perlu pemuda-pemuda SAPP menghidupkan semula protes Black Sunday?” soal beliau secara sinis.