KUALA LUMPUR – Tidak pernah mana-mana pihak jadi bodoh atau berpura-pura bodoh jika menegur Perdana Menteri melalui ayat yang sopan dan teratur seperti orang yang bertamadun.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’man mengingatkan Ahli Parlimen DAP Howard Lee bahawa Malaysia sebuah negara demokrasi , sudah tentu kritikan akan datang daripada pelbagai pihak terutamanya pembangkang.
“Howard Lee begitu teruja mempertahankan kenyataan “rundingan” dengan China yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila membabitkan kedaulatan sempadan negara, sehingga ahli Parlimen Ipoh Timur daripada DAP itu menggunakan perkataan bodoh terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegur Perdana Menteri.
“Mungkin bagi pandangan wakil-wakil rakyat muda ultra liberal dari DAP seperti Howard Lee, perihal sensitiviti tuntutan di Laut China Selatan tidak perlu penegasan atas alasan kita berurusan dengan salah satu kuasa ekonomi dunia iaitu China, di mana kita pula yang perlu menjaga hati mereka,” bidas Faiz dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau malah mempersoalkan, tidak cukupkah lagi usaha diplomatik, hubungan perdagangan serta sejarah baik rantau ini dengan China sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, sehingga kita perlu begitu lunak andai hak kita sedang dicerobohi atau paling tidak terancam untuk dicerobohi?
Kata Faiz lagi, Anwar seringkali menoleh kepada Indonesia dalam mencari sokongan politik serta inspirasi serumpun terutama ketika era Reformasi, tetapi beliau gagal menyelami semangat roh nasionalisme yang tidak dikompromi oleh mana-mana pemimpin politik di negara jiran tersebut apabila menyentuh perihal kedaulatan tanah air mereka. Pernah dengar kalimah “NKRI harga mati, ngak bisa ditawar lagi”?
“Untuk rekod saya tidak pernah dengar Perdana Menteri Thailand, Presiden Indonesia, Presiden Filipina dan Perdana Menteri Vietnam tergamak untuk sebut istilah berunding apabila melibatkan pertikaian tuntutan hak sempadan maritim negara mereka dengan China sungguhpun China mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan mereka.
“Maka tidak hairanlah Anwar dicop lemah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam soal ini. Saya pula ingin soal adakah Anwar ini cuba berlakon lunak dengan China sedangkan satu negara tahu pihak luar mana yang beri sokongan terhadap gerakan politik beliau sejak zaman Reformasi?
“Saya harap PM ke-10 ini tidak hipokrit jika berhadapan dengan negara luar, kerana rakyat negara ini sudah pun muak dengan sikapnya yang sering u-turn melanggar prinsip dan janji sendiri,” katanya lagi.
Faiz juga mendakwa pihak Pakatan Harapan (PH) lagi teruk apabila menghentam bekas Perdana Menteei, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang dilihat rapat dengan projek-projek nasional terkait pembabitan China.
Terdahulu, Howard mempertikai kecerdikan akal Presiden Bersatu, Muhyiddin susulan kenyataannya mengenai pertikaian Laut China Selatan dengan China.
Kata Howard beliau tidak tahu sama ada Muhyiddin bodoh atau pura-pura bodoh kerana sebagai bekas perdana menteri beliau sepatutnya tahu bahawa dalam perihal hubungan antarabangsa, ia melibatkan urus tadbir, pertemuan, dan timbang tara untuk menyelesaikan, atau setidak-tidaknya mengendurkan ketegangan dalam sesuatu isu, termasuk tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Menurut Howard, Muhyiddin ‘menjejaskan’ kedaulatan negara apabila mengkritik Anwar mengenai hubungan Malaysia dan China.
“Apabila berhadapan dengan kuasa-kuasa besar, bahasa diplomatik adalah amat penting untuk memastikan hubungan harmoni dikekalkan. Saya yakin Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri yang banyak pengalaman politik tentunya cerdik, pandai dan bijaksana.
“Tentu beliau faham apa yang dimaksudkan dengan bahasa diplomatik, terutamanya apabila kita berhadapan dengan Amerika Syarikat dan China – yang kedua-duanya hadir di rantau Asia Tenggara termasuk Laut China Selatan.
“Sayangnya, Muhyiddin yang kini mengepalai gerombolan pembangkang Perikatan Nasional hanya berani bermain ‘politik kotor’,” ujarnya.
Kredit Foto: FB