KUALA LUMPUR – Kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, tidak akan dilanjutkan selepas ia tamat pada 12 Mei, lapor saluran berita Singapura, The Straits Times.
Laporan itu memetik sumber peringkat tinggi tanpa nama yang mengatakan bahawa keputusan itu dibuat susulan dakwaan rasuah terhadap Azam.
Untuk rekod, tempoh perkhidmatan Azam telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini.
Menurut laporan itu, di tengah-tengah kritikan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk daripada anaknya, yang juga timbalannya dalam PKR Nurul Izzah – Anwar mempertahankan keputusannya, dengan mengatakan Azam telah menunjukkan “keberanian luar biasa” dalam menangani rasuah peringkat tinggi.
Laporan The Straits Times itu mendakwa bahawa sumber kerajaan dan undang-undang menyatakan tempoh perkhidmatan Azam tidak akan dilanjutkan, kerana kerajaan menghadapi tekanan.
“PM telah berulang kali menekankan kepada Kabinet dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa tempoh perkhidmatan Azam tidak akan diperbaharui,” kata laporan itu yang memetik seorang pegawai yang tidak dinamakan.
Pada Disember tahun lepas, Azam mengakui bahawa pelanjutan kontraknya yang berulang kali telah mendapat kritikan daripada pihak tertentu dan membayangkan bahawa tempoh perkhidmatannya mungkin tamat apabila kontraknya tamat pada Mei tahun ini.



