Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara terus memperkukuh usaha pemeliharaan dan
pemuliharaan koleksi seni visual negara melalui pelaksanaan inisiatif Conservation in Action.
Ia satu pendekatan konservasi secara terbuka (open conservation) yang membolehkan pengunjung menyaksikan secara langsung proses kerja-kerja konservasi dijalankan di ruang galeri.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata, kerja-kerja konservasi tersebut bermula 24 Feb hingga 15 Mac ini dari jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung semula pada jam 2.30 petang hingga 4 petang sepanjang tempoh berkenaan.
“Inisiatif ini berfungsi sebagai platform pendidikan awam yang bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap kepentingan konservasi dalam memastikan kelestarian karya seni untuk jangka masa panjang.
“Menerusi Conservation in Action, pengunjung berpeluang menelusuri proses teknikal yang terlibat dalam pemuliharaan karya, termasuk pemeriksaan kondisi serta langkah-langkah pencegahan bagi mengawal faktor persekitaran yang berpotensi menjejaskan keadaan fizikal karya, ”kata kenyataan itu.
Katanya, pendekatan ini turut memperkasa fungsi Art Hospital yang berperanan dalam menjaga, merawat dan memelihara koleksi seni visual negara.
“Sepanjang pelaksanaan inisiatif ini, Cawangan Konservasi akan menjalankan kerja-kerja cucian terhadap karya bertajuk Imitation Master-Legacy, BSN2025.006 (H), oleh
pelukis Ali Nurazmal Yusoff yang kini dipamerkan di Galeri 2A menerusi Pameran Perolehan Terkini 2015–2025.
“Justeru, Balai Seni Negara menjemput orang ramai hadir menyaksikan proses ini serta menghargai kepentingan konservasi dalam memastikan karya seni terus terpelihara dan masuk adalah percuma, ”katanya lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai program atau pameran yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara, sila layari www.artgallery.gov.my atau ikuti saluran media sosial rasmi Balai Seni Negara.-SUARA.TV



