LIPIS: Bagi peminat aktiviti lasak, mendaki adalah adalah salah satu aktiviti yang kian popular yang tidak mengira umur, jantina dan kaum.
Mendaki membantu membina otot dan tulang yang kuat serta sihat. Ia adalah senaman yang membantu membina jisim otot dalam meningkatkan keseimbangan dan mencegah osteoporosis atau tulang reput.
Salah satu tempat aktiviti medaki ialah di Gua Bama, berdekatan Kg Relong, Kuala Lipis, Pahang. Terletak di sebelah timur Kampung Relong di atas kawasan kira-kira 20 ekar.
Gua Bama juga telah diiktiraf sebagai salah satu “Lipis Geopark” oleh UNESCO.
Suara.TV sempat menemubual seorang anak muda yang mengurus aktiviti mendaki Gua Bama, Khairul Hakim Zulkafli, 23 tahun, katanya, Gua Bama mempunyai sejarahnya sendiri.
Bagi masyarakat tempatan, penduduk Kampung Relong dan sekitarnya, Gua Bama biasa juga disebut Gua Relong.
Orang-orang dahulu mempunyai cerita tersendiri mengenai “kejadian” gua ini. Menurut ceritanya, asal gua ini adalah dari dua buah “bangunan” (rumah) (Kini dikenali dengan Gua Jantan – kecil dan Gua Betina – besar).
Katanya lagi, satu ketika berlangsung majlis perkahwinan yang cukup istiadatnya di dua buah rumah itu. Ketika itu lalu suatu makhluk yang dikenali sebagai Sang Kelembai (setengah tempat mengelarnya Sang Gedembai) dan ditegurnya majlis itu, lalu rumah-rumah itu menjadi batu. Bukti adanya majlis perkahwinan itu dapat dilihat didalam gua dimana batu-batu yang menyerupai orang bersanding, gong, katil, dan bantal boleh dijumpai.
“Nama Bama ini berkait rapat dengan seekor harimau penjaga kawasan Relong dan sekitarnya yang bernama Bujang Bama. Pawang pertama yang memeliharanya ialah Pawang Tamat. Harimau ini bergilir-gilir dijaga oleh Pawang-pawang sehinggalah Bujang Bama mati di Nenggiri, Kelantan. Tempat Bujang Bama ini diambil alih oleh oleh Bujang Hitam dan Tok Keghuh (masih ada sehingga kini). Tetapi sebelum Bujang Bama penjaga gua ini dikatakan seekor beruk besar. Dia bertugas menjaga Gua Bama dan sekitarnya.
“Di puncak bukit batu kapur (Gua Bama) ini anda boleh mendapat pemandangan menyeluruh kawasan sekitarnya iaitu Kampung Relong, Bapong, Berchang dan Berang. Sekiranya bernasib baik atau anda seorang yang ‘istimewa’ anda boleh ketemu dengan padang rumput dan kolam mandi (tempat puteri bersiram). Anda juga boleh menjelajah dan bertemu dengan sesuatu yang menarik,” katanya memetik sejarah lagenda sejarah yang penuh dengan mitos, khayalan dan fakta.
Jelas Khairul lagi, bukit batu kapur yang dinamakan sebagai Gua Bama ini dapat diperhatikan di tepi jalanraya Kuala Lipis ke Gua Musang berhampiran pekan Padang Tengku. Bukit batu kapur ini berketinggian kira-kira 60m dengan panjang 400m.
Jelasnya, Hampir keseluruhannya dibentuk oleh batu kapur masif dan batu kapur berlapis tebal. Usianya telah lama dianggarkan berusia Karbon tetapi tanpa sebarang bukti paleontologi.
Maklumat yang dia perolehi lagi, terdapat beberapa fitur menarik di bukit Gua Bama seperti perlapisan batu kapur masif dengan yang berlapis, syal bertuf denfan syal berkapur, sempadan transisi syal bertuf dengan batu kapur, sempadan hakisan syal bertuf dan batu kapur, lipatan gelongsoran dan sisipan tuf dalam batu kapur.
Untuk ke Gua Bama dari bandar lipis ujarnya mengambil masa lebih kurang dalam 20 minit dan Jarak perjalanan dari bandar Kuala Lumpur mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih
Mendaki Gua Bama ini mengambil masa lebih kurang satu jam, laluan Gua Bama separuh mendaki tangga simen dan separuh mendaki batu (rock climbing).
Sampai di puncak, para pendaki dapat melihat pemandangan sekitar Kg Relong, dan Bapong Ulu Teris. Dan pasti lebih menarik lagi kerana di dalam Gua Bama banyak yang dapat diterokai yang penuh dengan sejarah ini.
Aktiviti mendaki Gua Bama menurutnya sudah berjalan lebih berpuluh-puluh tahun. Setakat semalam jelasnya, lebih beribu orang telah mendaki dan ratusan kumpulan telah mendaki Gua Bama.
Ujar Khairul lagi, untuk mereka yang berminat untuk mendaki Gua Bama, aktiviti ini dibuka setiap hari minggu (Sabtu dan Ahad) bermula jam 8.00 pagi hingga selesai. Boleh hubungi beliau di 017-2306041 dan 016-9639317 (Edy).
Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan Daerah Lipis kini dikenali Lipis Geopark Kebangsaan berkuatkuasa 09 November 2023.
Jelasnya, Lipis Geopark yang berkeluasan 5,198 kilometer persegi iaitu meliputi keseluruhan Daerah Lipis di Negeri Pahang dengan 28 tapak warisan geologi, 18 tapak warisan budaya dan 6 tapak warisan biologi adalah Geopark Kebangsaan yang terbesar di Malaysia buat masa ini.
Katanya, banyak tempat menarik di Lipis, antaranya Galeri Aspirasi Lipis Geopark, Geotapak Bernilai Kebangsaan (Zon Sutura Bentong-Raub, Jujukan Perms-Trias Gua Bama dan Kuala Sungai Lipis).
Selain itu, Geopelancongan (Gua Tahi Bintang dan Gua Sisik Naga) dan Biotapak (Taman Negara Sungai Relau dan Taman Eko Rimba Sungai Yu).
Di Lipis juga, katanya, terdapat Tapak Budaya seperti Stesen Keretapi Lipis, Bangunan Majlis Daerah Lipis dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, SMK Merapoh dan penempatan masyarakat Orang Asli Pos Betau.
“Pelaksanaan Lipis Geopark selari dengan draf perancangan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia (2024-2028),” kata Wan Rosdy.-SUARATV