Penyelarasan hutang peneroka Felda diumum Mei – Mustapa Mohamed

- Advertisement -

KUALA KUBU BHARU: Penyelarasan senarai hutang semua peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan dimuktamadkan sepenuhnya pada Mei ini.

Keseluruhan hutang itu kini berjumlah kira-kira RM12 bilion termasuk RM8.8 bilion yang melibatkan hutang kebun peneroka di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Felda sedang giat melaksanakan proses audit dan meneliti hutang berkenaan.

Menurut beliau, penyelarasan itu dianggap perlu bagi mengurangkan beban hutang yang terpaksa ditanggung peneroka ketika ini.

“Difahamkan kadar hutang mereka (peneroka) kini dianggarkan sekitar RM1,000 sebulan dan jumlah itu sememangnya tinggi.

“Oleh demikian, golongan ini perlu dibantu dengan mengurangkan jumlah hutang berkenaan dan senarainya akan diumumkan pada Mei nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau tapak Projek Gedung Makanan Negara (GMN) di Felda Sungai Tengi Selatan di sini yang turut dihadiri, Pengurus Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, bagi memastikan operasi harian dan komitmen perkhidmatan kepada warga peneroka berjalan lancar, Felda terpaksa membuat pinjaman dan kini menanggung jumlah hutang yang tinggi mencecah RM10.7 bilion.

Pada September tahun lalu, Felda memaklumkan kerajaan bahawa ia tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya dan mempunyai masalah kecairan seba­nyak RM1.3 bilion.

Selain itu, hutang peneroka yang tinggi dan kadar kutipan hutang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keada­an serta menjejaskan kedudukan kewangan Felda.

Sementara itu Amiruddin berkata, pihaknya akan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu hutang peneroka berkenaan.

“Selain kebun, semua hutang ini melibatkan pelbagai jenis antaranya pendidikan, kedai dan komputer. Kita akan memuktamadkan jumlah hutang ini dan berita gembira berkenaan mungkin akan diumum pada Ramadan nanti,” katanya.

-UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat