Sindiket Fake BTS Tumpas, Operasi Dikesan di Johor Bahru

CYBERJAYA,– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MCMC) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pemancaran Stesen Pangkalan Palsu atau Fake Base Transceiver Station (Fake BTS), kali ini membabitkan operasi di sekitar kawasan Bukit Chagar, Johor Bahru.

Menurut MCMC, operasi tersebut dijalankan susulan maklumat awam serta pemantauan teknikal dan analisis rangkaian yang mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu kepada pengguna.

Dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi hari ini, pasukan penguat kuasa mengenal pasti seorang individu dan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS. Pemeriksaan lanjut di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berkeupayaan memintas rangkaian sah serta menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di kawasan sekitarnya.

MCMC turut memaklumkan bahawa individu terlibat dipercayai direkrut melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian, satu taktik sindiket bagi meluaskan operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka.

Penemuan tersebut mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi negara.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, sabitan boleh membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab dan akan terus memperkukuh pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan bagi melindungi pengguna serta memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian komunikasi negara.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat