DBP nafikan dakwaan bakar buku sastera Iban, sifatkan kenyataan media sosial tidak berasas

KUALA LUMPUR, — Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) menafikan dakwaan tular di Facebook Sarawak Public Feedback yang mendakwa kononnya terdapat pembakaran buku sastera Iban oleh agensi tersebut.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, DBP menjelaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak berasas, tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan serta salah faham masyarakat selain memberi tanggapan negatif terhadap institusi itu.

Menurut DBP, Cawangan Sarawak telah mengambil alih fungsi dan peranan Borneo Literature Bureau (BLB) pada tahun 1977. Semasa pengambilalihan tersebut, sebanyak 1,077 judul merangkumi 444 judul dalam bahasa Iban dan 633 judul dalam Koleksi Sarawak, Brunei dan Sabah masih tersimpan dan menjadi sebahagian daripada koleksi Borneo DBP Cawangan Sarawak.

Sebagai agensi yang diamanahkan untuk memartabatkan bahasa dan persuratan, DBP menegaskan bahawa pihaknya komited dalam usaha pendokumentasian bahasa-bahasa sukuan serta penerbitan karya sastera rakyat di Sarawak.

Antara penerbitan yang telah dihasilkan termasuk Kamus Bahasa Sukuan seperti Kamus Bahasa Melanau Mukah–Melayu Dewan, Kamus Bahasa Iban–Melayu Dewan dan Kamus Bahasa Sarawak–Melayu Dewan. Selain itu, turut diterbitkan beberapa daftar kata bahasa sukuan termasuk Bahasa Vaie, Bahasa Kedayan, Bahasa Melanau Dialat, Bahasa Melanau Seduan, Bahasa Kenyah Cebup, Bahasa Tatau dan Bahasa Narum.

DBP juga memaklumkan bahawa sebanyak 44 judul Buku Sastera Rakyat telah diterbitkan, antaranya Antologi Cerita Rakyat Sarawak Telichu dan Telichai, Awan Hagang Batang Kayo, Kerana Dayang Petara, Naciak dan Puteri Kayangan serta Kumpulan Cerita Rakyat Sarawak Si Abu-Abu.

Menurut kenyataan itu lagi, DBP merupakan agensi yang bertanggungjawab menerbitkan Buku Teks Bahasa Iban sebagai mata pelajaran elektif di sekolah-sekolah Sarawak, sekali gus menolak sebarang dakwaan bahawa pihaknya meminggirkan bahasa dan sastera tempatan.

DBP menegaskan akan terus komited melaksanakan usaha pembukuan, dokumentasi dan penerbitan bahan bahasa serta sastera demi kelestarian warisan budaya untuk generasi akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat