KUALA LUMPUR – India membuka ruang kepada Malaysia untuk menghantar enjin pesawat Sukhoi bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) ke negara itu, selepas Malaysia berdepan masalah untuk mendapatkan perkhidmatan itu daripada Russia.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu antara yang dibincang dan diputuskan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia, hujung minggu lalu.
Beliau berkata Malaysia, India dan Vietnam memiliki banyak persamaan dari segi aset, terutama aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk penggunaan pesawat Sukhoi.
“Kita membincangkan cara kita boleh menghantar dan mengadakan hubungan, terutama dari segi MRO kerana India mempunyai aset Sukhoi yang banyak dan negara itu boleh mengeluarkan peralatan ganti.
“Kita mengalami masalah untuk menghantar peralatan ganti atau selenggara enjin jet pejuang Sukhoi ke Russia.
“Kita boleh hantar tapi nak membayar tidak boleh kerana Russia dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), dan kita tidak boleh bayar melalui pembayaran `swift’ atau secara biasa.
“Sekarang ini, India memberikan satu peluang untuk kita menghantar dan memulihkan (alat ganti) atau membuat MRO enjin jet pejuang Sukhoi ini di India,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan asal Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai hasil perdagangan dan keselamatan serantau susulan lawatan Modi ke Malaysia, minggu lalu dan sejauh manakah langkah bersama yang boleh diambil Malaysia dan India terhadap pelaksanaan tarif oleh AS.
Terdahulu, India dilaporkan telah mengemukakan cadangan menaik taraf separuh hayat (Mid-Life Upgrade -MLU) secara menyeluruh terhadap armada pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM, dengan inisiatif itu diposisikan sebagai langkah strategik yang melangkaui keperluan penyelenggaraan platform rutin dan objektif lanjutan hayat pesawat semata-mata.
Cadangan tersebut membawa implikasi geopolitik, perindustrian dan operasi yang amat luas terhadap postur kuasa udara Malaysia, khususnya ketika persekitaran keselamatan Indo-Pasifik semakin dipertikaikan akibat pemecahan rantaian bekalan global, risiko penyelenggaraan berpunca daripada sekatan antarabangsa, serta persaingan kuasa besar yang semakin sengit dan berlapis.
Menurut laporan media India, Setiausaha (Timur) di Kementerian Hal Ehwal Luar India, P. Kumaran, secara jelas mengesahkan bahawa New Delhi telah “menawarkan cadangan untuk pengubahsuaian, naik taraf dan penyelenggaraan separuh hayat [Su-30MKM],” sambil menegaskan bahawa India juga “melihat potensi pembekalan platform tentera laut oleh limbungan kapal India,” sekali gus menandakan pendekatan industri pertahanan bersepadu yang melangkaui domain penerbangan kepada kerjasama keselamatan maritim.



