KUALA LUMPUR, — Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz membidas keras kenyataan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ronald Kiandee yang pagi tadi secara terbuka menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden BERSATU.
Ronald yang juga Ketua BERSATU Sabah mendakwa Muhyiddin gagal mengurus krisis dalaman parti sehingga berlarutan ke tahap yang hampir mustahil dipulihkan.
Mengulas kenyataan itu, Tun Faisal menyifatkan tindakan Ronald sebagai reaksi terdesak susulan langkah Lembaga Disiplin parti yang mula mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa melanggar Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli BERSATU.
Menurut beliau, adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Presiden sedangkan tanggungjawab memperkukuh jentera parti di peringkat negeri berada di bawah pimpinan negeri sendiri.
Tun Faisal mendakwa Ronald wajar bermuhasabah dan mempertimbangkan untuk berundur atas kegagalannya mengetuai Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah yang didakwa menjadi antara faktor utama prestasi lemah calon-calon BERSATU Sabah dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah.
Beliau berkata, sehingga kini tiada laporan pasca pilihan raya secara bertulis dibentangkan bagi menilai kelemahan strategi, penyusunan jentera dan pengurusan kempen.
“Sepatutnya sebagai Ketua BERSATU Sabah dan Pengerusi Perikatan Nasional negeri, beliau membentangkan pelan strategik lebih awal, menyusun gerak kerja lebih tersusun dan memastikan jentera berada dalam keadaan siap siaga. Itu tanggungjawab kepimpinan negeri, bukan Presiden di pusat,” katanya.
Tun Faisal turut menegaskan bahawa sejak awal lagi autonomi dan kuasa penuh telah diberikan kepada kepimpinan negeri termasuk Ronald sendiri serta Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Pengarah Pilihan Raya Negeri untuk mengurus dan mempersiapkan jentera Sabah tanpa campur tangan Presiden.
Sehubungan itu, dakwaan kononnya Presiden gagal mengurus krisis dalaman disifatkan sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada kelemahan sendiri.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa tindakan Lembaga Disiplin adalah usaha membungkam suara pimpinan tertentu.
Menurutnya, tindakan disiplin adalah mekanisme sah dalam parti bagi memastikan semua ahli mematuhi perlembagaan dan keputusan yang telah dipersetujui secara kolektif.
“Perlembagaan parti bukan dokumen hiasan. Jika ada pelanggaran berulang kali, tindakan mesti diambil. Ini soal disiplin dan integriti institusi parti,” katanya.
Tun Faisal turut mempersoalkan mengapa Ronald tidak mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin dan penyokong yang didakwa secara terbuka mencabar keputusan parti serta menyerang institusi Presiden sebelum ini.
“Sebagai Naib Presiden, beliau sepatutnya menjadi benteng mempertahankan perlembagaan dan keputusan parti, bukan tampil mempertahankan mereka yang berulang kali melanggar disiplin,” katanya.
Menurut Tun Faisal, kepimpinan yang bertanggungjawab tidak akan menyalahkan pihak lain apabila berdepan kegagalan, sebaliknya berani mengambil tanggungjawab dan memperbetulkan kelemahan dalaman.
“Bukan Presiden yang wajar berundur. Mereka yang gagal melaksanakan amanah dan tidak berfungsi dengan berkesan itulah yang patut memberi laluan,” katanya.



