Wakaf Takaful Ajwad terbuka, tanpa mengira agama dan bangsa – Mohd Na’im

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) adalah entiti wakaf peringkat kebangsaan yang konsisten, berdedikasi dan proaktif dalam memperluaskan pelbagai produk wakaf yang inovatif dari segi kaedah pelaksanaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj Mohd Na’im Mokhtar berkata demikian ketika melancarkan produk Wakaf Takaful Ajwad di sini pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM berkata, Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful) bersama YWM akan menyumbang kepada pertumbuhan dana wakaf tunai dan perlindungan takaful.

Menurutnya, pewakafan ini adalah satu inovasi kaedah terbaru dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Produk Wakaf Takaful Ajwad merupakan inovasi produk gabungan sinergi elemen wakaf dan takaful di mana setiap pewakaf layak mendapat manfaat perlindungan sebanyak RM12,000.

Sekiranya berlaku sebarang kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal, manfaat tambahan kematian akibat kemalangan sebanyak RM12,000 dan manfaat perbelanjaan pengebumian sebanyak RM1,000.

Menurutnya lagi, terdapat tiga pilihan pelan antaranya Ajwad 1 dengan kadar sumbangan sebanyak RM50 sebulan di mana RM30 adalah sumbangan wakaf dan RM20 pula sumbangan takaful.

Ajwad 2 pula dengan kadar sumbangan sebanyak RM100 sebulan di mana RM80 adalah sumbangan wakaf dan RM20 pula sumbangan takaful.

Manakala melalui Ajwad 3 kadar sumbangan sebanyak RM150 sebulan di mana RM130 adalah sumbangan wakaf dan RM20 pula sumbangan takaful.

“Bertepatan dengan temanya ‘Wakaf Manfaat Berpanjangan, Takaful Perlindungan Berterusan’, sejumlah RM20 daripada nilai sumbangan yang dipilih akan disalurkan kepada HLM Takaful untuk tujuan perlindungan, manakala bakinya adalah sumbangan wakaf yang akan diuruskan oleh YWM.

Kepentingan mempelbagaikan platform pewakafan bagi memudahkan masyarakat untuk berwakaf seterusnya meningkatkan lagi tabungan dana wakaf YWM.

Kesemua dana wakaf yang diterima ini akan dikategorikan sebagai Wakaf Am YWM dan pengagihannya pula berdasarkan kepada tatacara pengagihan dana wakaf YWM, ”ujarnya.

Keutamaan agihan akan diberikan kepada program atau projek yang di dalamnya terdapat penglibatan pihak berkuasa Majlis Agama Islam di setiap negeri, ”ujarnya.

“Amalan wakaf paling awal diperkenalkan oleh Rasulullah SAW dengan mewakafkan tanahnya untuk pembinaan Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi.

Kemudiannya diwarisi dan diteruskan oleh para sahabat Baginda seperti Umar Al-Khattab RA mewakafkan hartanya yang paling berharga iaitu sebidang tanah di Khaibar, Abu Talhah mewakafkan kebun kesayangannya, ‘Bi’ru Ha’ dan Uthman RA mewakafkan hartanya di Khaibar antaranya telaga ‘Rawmah’.

Bagi menjana kekuatan ekonomi ummah wakaf dilaksanakan dengan lebih meluas di zaman Khalifah Umaiyah dan Abbasiyah. Ketika itu masyarakat berduyun-duyun dan berebut-rebut melaksanakan ibadah wakaf.

Setiap sumbangan yang diterima menerusi pelan perlindungan ini layak mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967, ”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLM Takaful, Mohd Asri Omar menjelaskan pihaknya menyediakan fasiliti kepada penyumbang wakaf di YWM untuk mencarum dan mendapatkan perlindungan takaful yang mampu milik.

“Peserta yang memilih pelan sumbangan sebanyak RM50 sebulan dan jika berlaku kematian atas sebarang sebab, sejumlah RM4,000 daripada Manfaat Kematian (bersamaan dengan 1/3 daripada manfaat perlindungan berjumlah RM12,000) akan diwakafkan atas nama peserta ke YWM, ”jelasnya lagi.

Sementalah itu, Pengurus Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM , Haidatul Azia Husin berkata orang ramai yang ingin menyumbang wakaf boleh mendaftar menerusi laman sesawang YWM www.ywm.gov.my.

YWM sebuah entiti wakaf kebangsaan yang telah ditubuhkan pada 23 Julai 2008 dan didaftarkan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258]- SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat