KUALA LUMPUR, — Novonesis, syarikat biosolusi global beribu pejabat di Denmark, muncul antara peserta paling menonjol pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC 2025) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) apabila meraih Anugerah Reruai Terbaik dan mencatat penglibatan pelawat yang tinggi sepanjang pameran.
Pengarah Perniagaan dan Pengurus Negara SEA, Lakshmi Narasimhan, serta Pengurus Kanan Pemasaran Serantau APAC, Liew Lih Shin, berkata penyertaan tahun ini membawa lonjakan prospek berkualiti, sekali gus menunjukkan minat industri terhadap aplikasi biosolusi dalam rantaian nilai sawit.
Reruai berkonsep “Farm, Food, and Valorisation” itu menampilkan pembentangan kertas kerja, visualisasi rantaian sawit serta demonstrasi penggunaan teknologi enzimatik Novonesis, termasuk penghasilan minyak MCT yang turut digunakan dalam produk kopi tempatan. Pihak syarikat turut memenangi anugerah pembentangan poster.
Sebagai peneraju bioteknologi B2B merentasi lebih 30 industri global, Novonesis menawarkan penyelesaian yang mampu meningkatkan hasil ladang, mengurangkan penggunaan bahan kimia serta menurunkan suhu pemprosesan. Teknologi mereka juga membolehkan aliran sisa seperti FAD dan minyak terpakai ditukar kepada biodiesel, menyokong agenda ekonomi kitaran dan pengurangan karbon negara.
Menurut syarikat itu, komitmen mereka terhadap inovasi melalui pelaburan 11 peratus daripada hasil tahunan dalam R&D menjadikan biosolusi sebagai pemangkin penting kepada kelestarian dan daya saing industri sawit Malaysia.



