FGV ada masa sebulan alih aset, kosongkan premis di ladang seluas 15,000 hektar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju mem­­­­beri kelonggaran kepada FGV Holdings Bhd (FGV) untuk meneruskan operasi selama sebulan lagi sehingga 7 Januari 2026.

Keputusan itu dibuat bagi mem­­beri ruang kepada FGV mem­­perbetul keadaan, menga­lihkan aset serta mengosongkan premis ladang mereka se­luas kira-kira 15,000 hektar se­belum sebarang tindakan si­taan diambil.

Tempoh remedi asal berhu­bung Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) sepatutnya ber­akhir pada 7 Disember lalu, susulan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang dimulakan pada 30 November 2025.

Dalam perkembangan terbaru, kerajaan negeri turut memberi kelonggaran kepada FGV untuk meneruskan operasi semua ladang mereka di Terengganu berkuat kuasa serta-merta, selain tidak meneruskan notis yang dikeluarkan kepada semua Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali berkata, keputusan melanjutkan tempoh remedi susulan perkembangan positif hasil beberapa siri rundingan bersama pengurusan tertinggi Felda ber­­hubung isu tuntutan tanah milik kerajaan yang dimajukan sebagai ladang komersial agensi berkenaan.

Beliau yakin siri rundingan akan diteruskan hingga mencapai persetujuan yang dapat dimuktamadkan kedua-dua pi­hak.

“Selaras dengan kemajuan ini, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh remedi dalam notis yang dikeluarkan untuk tempoh sebulan berakhir pada 7 Januari 2026.

“Dalam tempoh ini, perbincangan ke arah memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diadakan. Kerajaan negeri juga mempertimbangkan untuk benarkan FGV meneruskan operasi semua ladang mereka berkuat kuasa serta-merta,” ka­tanya dalam kenyataan semalam, lapor Utusan di Kuala Terengganu.

Zulkifli berkata, notis yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN akan ditarik balik sebaik sahaja satu perjanjian muktamad ditandatangani antara kerajaan negeri dan Felda.

“Semoga persetujuan penyelesaian ini memberi kebaikan ke­pada kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ja­watankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri sejak awal berusaha mencari ruang membawa isu berkenaan ke meja rundingan bagi mencapai persepakatan menang-menang.

Katanya, selepas tempoh 40 tahun tanpa penyele­saian, kerajaan negeri terpaksa me­nguatkuasakan undang-undang di bawah KTN untuk mem­buka kembali rundingan de­ngan pengurusan tertinggi Felda.

“Kerajaan negeri mengamalkan prinsip terbuka dalam perundingan, bertolak ansur tetapi tidak hilang hak. Ada perkara yang boleh dipertimbangkan dalam perundingan sementara beberapa perkara sudah termaktub dalam Peraturan Tanah Terengganu, termasuk kadar premium, cukai tanah dan penyelesaian cukai tertunggak 40 tahun,” katanya.

Dengan langkah ini, operasi ladang FGV dapat diteruskan tanpa gangguan, sementara ke­rajaan negeri dan Felda terus menumpukan usaha mencapai persetujuan muktamad yang memberi manfaat kepada ke­dua-dua pihak dan memastikan kepentingan rakyat Terengganu terjaga.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat