Perlis diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan

- Advertisement -

KANGAR – Perlis kini diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan dengan gelaran Perlis Geopark.

Menerusi laman Facebook Perlis Geopark, Jawatankuasa Geopark Kebangsaan memperakukan keputusan panel penilai yang melakukan tinjauan serta penilaian di beberapa geotapak, biotapak dan budaya di negeri itu pada 7 hingga 11 September lalu.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata dengan peratusan penilaian sebanyak 92.96 peratus memberikan satu pengiktirafan luar biasa kepada sebuah negeri yang terkecil di negara ini.

“Pengiktirafan ini adalah satu pencapaian cukup menakjubkan dan kita akan berusaha untuk mempertahankan pengiktirafan ini pada penilaian seterusnya yang dijangka akan dilaksanakan pada 2027.

“Kita harap kita dapat meningkatkan lagi pencapaian ini menjadi 93 peratus pada penilaian akan datang kerana kerana setiap perkara apa pun perlu ada kemajuan peningkatan.

“Sebagai kerajaan negeri, kita sudah ada pelan untuk memastikan Perlis Geopark ini dapat dikenali di seluruh negara namun kita belum perhalusi lagi dan akan dilaksana selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di sebuah hotel di Kuala Perlis, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Perlis Geopark, Dr Puteh Soraya A Rahman ketika ditemui berkata, penarafan Perlis Geopark akan menjadi satu batu loncatan kepada industri pelancongan Perlis.

“Pelancong mempunyai satu lagi pilihan produk pelancongan baharu yang disebut sebagai ‘geotrail’ dan boleh dipandu oleh geoguide berdaftar bagi mengenali geologi dan biodiverstiti yang terdapat di negeri ini.

“Moga seluruh rakyat Perlis mendapat manfaat bagi penjenamaan (branding) Perlis Geopark ini terutamanya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan gunalah logo Perlis Geopark dan logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di mana sahaja di Perlis sebagai satu tanda sokongan kepada usaha kita bersama ini,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh komuniti Perlis Geopark yang bertungkus lumus merealisasikan harapan Negeri Perlis untuk mendapat penarafan geopark kebangsaan.

“Terima kasih di atas kepercayaan dan sokongan padu kepimpinan negeri, pengurusan tertinggi, semua jabatan dan agensi, institusi pendidikan, semua rakan-rakan strategik Perlis Geopark, rakan-rakan media, rakan geoguide.

Tidak dilupakan patik sekalian menjunjung kasih di atas doa restu dan sokongan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang turut sama berangkat ketika sesi penilaian,” katanya.

Keunikan Perlis Geopark adalah ia mempunyai batuan tertua berusia 541 hingga 66 juta tahun dahulu serta formasi bukit yang terbentuk jutaan tahun dahulu.

Selain itu, di negeri yang mempunyai keluasan 1,001 kilometer persegi serta 284,000 penduduk itu, ia kaya dengan geotapaknya yang tersendiri iaitu 23 lokasi serta lapan biotapak dan 12 lokasi budaya yang menjadi elemen dalam penilaian Jawatankuasa Geopark Kebangsaan. – BH

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat