KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertikai tindakan kerajaan yang melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkali-kali namun, tidak melaksanakan semula moratorium pinjaman bank secara automatik bagi meringankan beban rakyat.
Beliau memberi peringatan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bahawa Barisan Nasional (BN) akan terus mendesak sehingga moratarium pinjaman automatik ini dilanjutkan secara pukal.
“Sebab apa PKPB boleh dilanjutkan berkali-kali tapi moratorium pinjaman automatik tidak boleh dilanjutkan secara pukal sekali – terutamanya untuk peminjam M40 sedangkan bank-masih catat keuntungan?
“Kerajaan kena fikir perkara ini.BN akan terus lawan sampai dapat,” tegas Najib.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersetuju untuk meminta pihak bank melakukan lanjutan moratorium secara bersasar.
Muhyiddin memberitahu, bukan mustahil jika moratorium tidak dilakukan secara bersasar, namun sudah pasti akan terdapat implikasi terhadap ekonomi negara terutama membabitkan sistem perbankan.