Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini bakal tertumpu kepada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 selepas dibentangkan Jumaat lepas.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, perbahasan akan bermula sebaik selesai sesi soal jawab lisan yang akan membuka tirai hari keenam persidangan itu, yang mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen; 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas dibenar berada dalam dewan pada satu-satu masa.

Tumpuan pada persidangan yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang itu turut terarah kepada isu kekurangan peluang pekerjaan bagi siswazah dan penjajahan Palestin iaitu antara pertanyaan pada sesi soal jawab lisan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) akan mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai langkah dan tindakan kerajaan dalam menangani masalah kekurangan peluang pekerjaan untuk siswazah baharu serta pekerja yang diberhentikan akibat kemelesetan ekonomi tahun ini.

Selain itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) akan meminta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah-langkah proaktif bersama badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyuarakan bantahan berkaitan rancangan ketidakadilan normalisasi Israel untuk mengiktiraf penjajahan ke atas Palestin.

Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) pula akan mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai jumlah benih padi baharu yang dihasilkan pusat penyelidikan sejak 2008 hingga kini.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember. – BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat