KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menamatkan subsidi telur ayam yang sedang dipertimbangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu dilakukan berhati-hati supaya tidak menjejaskan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), T Saravanan berkata tindakan itu boleh diambil dengan syarat bekalan telur benar-benar pulih dan harganya di pasaran kekal stabil tanpa kenaikan mendadak.
“FOMCA memahami pemberian subsidi adalah langkah sementara yang dilaksanakan bertujuan memastikan harga barang asas kekal mampu milik untuk pengguna ketika berlakunya krisis bekalan.
“Namun penamatan pemberian subsidi itu perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan pengguna terutama kumpulan berpendapatan rendah.
“Sekiranya kerajaan merasakan sudah sampai masa untuk menamatkan subsidi itu, pihak berwajib perlu memastikan bekalan dan harga kekal tanpa sebarang perubahan drastik yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup,” katanya lapor Harian Metro pada Rabu.
Hari ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekalan kembali pulih dan stabil.
Beliau dilaporkan berkata, langkah menamatkan subsidi itu wajar dipertimbangkan berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang memberi penjimatan RM100 juta sebulan.
Katanya, penjimatan daripada subsidi itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak.
Malah katanya, cadangan penamatan subsidi telur ayam sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan tiga sen untuk harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara.
Anwar dilaporkan berkata, langkah itu membabitkan subsidi 10 sen bagi sebiji telur ayam, membabitkan perbelanjaan RM100 juta.
Dalam pada itu Saravanan berkata, kepentingan pengguna perlu dijaga dengan memastikan harga telur kekal berpatutan.
“Sebelum mengambil langkah menamatkan subsidi sepenuhnya, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan mekanisme kawalan harga yang lebih fleksibel atau bersasar.
“Ini boleh memastikan golongan yang benar-benar memerlukan masih menerima bantuan, sementara pasaran dibenarkan berfungsi lebih bebas bagi mereka yang mampu membayar harga pasaran.
“Selain itu, kerajaan juga boleh meneliti langkah memperkukuhkan rantaian bekalan dan menambah baik produktiviti tempatan untuk memastikan bekalan telur kekal mencukupi dalam jangka panjang tanpa bergantung kepada subsidi.
“Langkah ini perlu dipantau rapi untuk mengelakkan gangguan kepada harga barang makanan lain yang berkait, kerana sebarang peningkatan kos bekalan makanan asas boleh mencetuskan kesan rantaian,” katanya.