Rakyat Sabah, Sarawak bimbang perairan negara diceroboh China

- Advertisement -

CYBERJAYA- Rakyat di Sabah dan Sarawak masing-masing menyatakan kebimbangan berhubung isu keselamatan Laut China Selatan selepas ada laporan mengenai pencerobohan ruang udara dan perairan di kawasan tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Alwa Dris, beliau melahirkan rasa bimbang sekiranya Wisma Putra berterusan mengambil sikap berdiam diri dalam hal berkenaan kerana ia jelas satu tindakan mencabul kedaulatan negara oleh pihak republik China.

Paling dibimbangi, katanya, apabila pelbagai spekulasi timbul sejak kebelakangan ini yang dilihat boleh memudaratkan rakyat Malaysia.

“Sebagai negara kecil seperti Malaysia, pada ketika ini mesti berani menyatakan pendirian berhubung isu keselamatan perairan negara.

“Wisma Putra tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri berhubung isu itu kerana ia hanya akan meningkatkan lagi kebimbangan rakyat di Sabah dan Sarawak yang berdepan pencerobohan itu.

“Wisma Putra harus lebih tegas dalam menangani isu pencabulan kedaulatan negara ketika ini, kita tidak sesekali berkompromi dalam perkara yang mencabul kedaulatan negara kerana pendekatan itu sahaja boleh memberi peringatan kepada yang lain. Isu ini juga sudah banyak kali dibangkitkan oleh wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun isu itu tiada penyelesaian konkrit malah terus berlarutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alwa yang merupakan ADUN Sarawak itu menambah, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan oleh China sebanyak 89 kali bermula pada 2016 hingga 2019.

Manakala media antarabangsa CNN, katanya, pernah melaporkan Kementerian Luar China menggambarkan latihan ketenteraannya di Laut China Selatan diadakan dalam wilayah negaranya.

Sementara itu, bagi ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin pula, sebagai wakil rakyat dirinya sering berdepan dengan aduan nelayan semakin tertekan kerana mata pencarian mereka terjejas dengan adanya aktiviti latihan ketenteraan di Laut China Selatan sehingga mereka berpatah balik.

“Ada juga kisah nelayan kita terpaksa beralih arah ke kawasan perikanan laut bergelora dan tidak begitu sesuai dengan kapasiti bot memandangkan tempat kebiasaan mereka kini ada banyak kapal peronda atau adanya latihan ketenteraan.

“Terdapat juga dakwaan datang pula nelayan haram dari China lakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley ini. Apakah ini semua tidak membimbangkan kita semua? Kedaulatan kita di ceroboh, rakyat kita hilang mata pencarian. Jangan diam diri yang akhirnya akan mudaratkan kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan agar mengambil pendirian tegas dengan tidak membiarkan aktiviti pencerobohan dan provokasi ketenteraan tidak berterusan berlaku di Laut China Selatan.

“Mengapa kita berdiam lagi, kita perlu lakukan sesuatu untuk tangani ini dengan segera. Setiap negara ada kedaulatan yang perlu dijaga dan dihormati.

Kita bukan hendak bergaduh atau lakukan provokasi sebaliknya tindak tanduk buli ini jangan kita biarkan,” kata Wilfred.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat