Bebaskan Parlimen daripada cengkaman mana-mana pihak – Rais Yatim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parlimen perlu bebas daripada cengkaman mana-mana pihak selari dengan transformasi yang sedang direncanakan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, tumpuan agenda transformasi adalah kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 atau Akta 347 serta mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.

“Begitu juga dalam soal kewangan dan pentadbiran kerana sudah tiba masanya Parlimen menentukan kaedah kewangan sendiri dan bagaimana ia hendak dibelanjakan juga adalah bidang kuasa sepenuhnya Parlimen,” katanya sempena majlis mengangkat sumpah jawatan enam Ahli Dewan Negara di bangunan Parlimen.

Enam senator yang mengangkat sumpah lantikan selama tiga tahun ialah Dr Wan Martina Wan Yusoff, Datuk Ajis Sitin, Datuk Juhanis Abd Aziz, Aziz Ariffin, Seruandi Saad dan Fadhlina Sidek.

Dr Wan Martina adalah pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang berkuat kuasa mulai 24 Ogos lalu hingga 23 Ogos 2024, manakala Ajis dan Juhanis pilihan DUN Pahang yang berkuat kuasa pada 25 Ogos hingga 24 Ogos 2024.

Aziz dan Seruandi pula dipilih DUN Perlis yang berkuat kuasa 26 Ogos hingga 25 Ogos 2024, manakala Fadhlina pilihan DUN Pulau Pinang yang berkuat kuasa pada 1 September hingga 31 Ogos 2024.

Semua mereka mengangkat sumpah senator kali pertama pada majlis berlangsung dalam keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Rais berkata, Parlimen juga tidak boleh lagi dilabelkan sebagai alat mana-mana pihak untuk menghalalkan apa juga yang ingin dilakukan.

Justeru, beliau berkata, Dewan Negara dan Dewan Rakyat bersepakat untuk menambah baik struktur pentadbiran serta kerangka perundangan berkenaan Parlimen supaya konsep pengasingan kuasa benar-benar wujud, sekali gus memastikan kewibawaannya dapat diperkasakan.

Memetik Bernama katanya, Peraturan-Peraturan Mesyuarat juga akan ditambah baik membabitkan aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli dan memperkuatkan jawatankuasa pilihan khas supaya mempunyai kuasa pelaksanaan.

“Jika semua transformasi berkenaan dilunaskan, banyak hal dan muslihat yang tidak dapat dikawal akan dapat diatasi oleh Parlimen melalui kuasanya,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat