Lupus Hutang Peneroka: Dokumen Apa PMX Tandatangan?

- Advertisement -

OLEH: Datuk Marzuki Mohamad

Saya terpinga-pinga sekejap apabila Perdana Menteri kata Tan Sri Muhyiddin tak pernah melupuskan hutang peneroka FELDA. Dia kata yang melupuskan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion adalah dia.

Kononnya dia baru saja tandatangan satu dokumen untuk melupuskan hutang peneroka pada bulan Jun 2023. Eh, apa hal ni?

Saya diberitahu ramai pegawai FELDA dan peneroka yang hadir dalam majlis itu pun terpinga-pinga tak percaya. Sebab hutang mereka dah lama dilupuskan semasa Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri.

Saya pun tertanya juga. Betul ke? Manalah tahu takut ada silap di mana-mana.

Saya semak balik jawapan-jawapan Parlimen oleh Menteri-Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal FELDA. Semua kata hutang peneroka telah dilupuskan pada tahun 2021. Takkan Menteri berbohong di Parlimen. Di mana silapnya?

Kemudian ada kawan forward kepada saya satu lagi video Perdana Menteri. Dia kata kalau betul kerajaan PN dah lupus hutang peneroka FELDA, kenapa dalam Bajet 2021 dan 2022 tidak ada peruntukan untuk melupuskan hutang FELDA.

Oohhh, serta merta saya faham sebenarnya ada masalah dalam kenyataan Perdana Menteri.

Pelupusan hutang peneroka FELDA tidak memerlukan peruntukan dana kerajaan ketika ia dilupuskan kerana itulah ia tidak ada di dalam Bajet. Hutang-hutang itu ibarat ‘bad debt’ atau hutang lapuk yang tak boleh dikutip oleh FELDA. Bila hutang-hutang itu dihapus kira, ia tidak lagi dikira sebagai sebahagian daripada aset FELDA. Itu saja.

Jadi apa pula nak dikaitkan dengan Bajet pada masa itu? Takkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tak faham perkara ini?

Pada masa yang sama, pada tahun 2021, kerajaan PN juga telah bersetuju FELDA menerbitkan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion untuk membiayai pembelian saham FGV berjumlah RM3.9 bilion dan mengurangkan hutang FELDA kepada Maybank dan KWSP berjumlah RM6 bilion.

Sukuk ini boleh diterbitkan secara berperingkat. Maka pada 24 Mac 2021, ketika Tan Sri Muhyiddin adalah Perdana Menteri, FELDA telah melaksanakan penerbitan pertama sukuk jaminan kerajaan berjumlah RM2.005 bilion bagi melaksanakan penyelesaian pinjaman dengan Maybank.

Seterusnya pada 16 dan 18 November 2021, iaitu ketika Dato’ Sri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, FELDA telah
melaksanakan penerbitan kedua dan ketiga sukuk sebanyak RM365 juta dan RM350
juta bagi melaksanakan penyelesaian pinjaman dengan Maybank.

Keseluruhan sukuk yang diterbitkan sehingga bulan November 2021 berjumlah RM2.72 bilion. Jadi ada lagi lah baki sukuk yang diterbitkan oleh FELDA selepas itu.

Ini sukuk. Sebahagiannya bertujuan untuk menyelesaikan hutang FELDA kepada bank, bukan hutang peneroka FELDA kepada FELDA.

Jadi dokumen apa yang PM tandatangan? Tak mungkin ia dokumen berkaitan dengan pelupusan hutang peneroka FELDA kerana jawapan-jawapan Parlimen, dan juga kenyataan mantan Pengerusi FELDA, mengesahkan bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA telah selesai pada tahun 2021.

Jawapan Parlimen ini tak boleh main-main. Kalau salah, Menteri yang bertanggungjawab boleh dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat.

Saya tak fikir Menteri tersilap kerana jawapan Parlimen yang disediakan oleh pegawai telah melalui beberapa tahap semakan dan tapisan di jabatan dan Kementerian yang berkaitan sebelum sampai ke Parlimen.

Kerana tuduhan ke atas Tan Sri Muhyiddin adalah berat, eloklah Perdana Menteri tunjuk dokumen apa yang dia tandatangan?

Beliau ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat