Lebih daripada sekadar kejayaan box office, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini dilihat sebagai simbol kematangan industri animasi Malaysia. Dengan kutipan terkini sebanyak RM50.7 juta dalam hanya 18 hari tayangan, kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan penerimaan hangat daripada penonton, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi kreatif negara.
Sebagai sambungan kepada francais popular yang telah lama mencuri perhatian penonton tempatan, EATM2 hadir bukan sekadar dengan animasi berkualiti tinggi, tetapi juga penceritaan yang matang, teknikal yang setanding produksi antarabangsa serta strategi promosi yang progresif. Ini menunjukkan bahawa Malaysia kini bukan lagi ‘pemain kecil’ dalam dunia animasi, sebaliknya sudah mula menunjukkan taring di pentas serantau.
Lebih menarik, di sebalik layar filem ini berdiri pasukan kreatif dan teknikal seratus peratus tempatan – satu bukti jelas bahawa bakat anak tempatan mempunyai potensi setara dengan pemain industri global. Usaha WAU Animation dan Primeworks Studios dalam membina ekosistem produksi animasi yang mampan telah membuka ruang kepada lebih ramai animator, penulis skrip, pereka watak dan tenaga kerja kreatif tempatan untuk menyerlah.
Ramai kalangan profesional muda menjadikan EATM2 sebagai inspirasi untuk menceburi bidang animasi. Institusi pendidikan tinggi juga dilaporkan menerima peningkatan minat dalam program animasi dan media digital sejak kejayaan francais ini mula melonjak.
EATM2 turut menjadi lonjakan penting kepada ekonomi kreatif. Selain kutipan tiket, penambahan nilai dijana melalui sektor pelesenan, pembarangan (merchandising) dan kerjasama strategik bersama jenama-jenama komersial. Produk bertemakan Ejen Ali seperti pakaian, permainan, alat tulis dan barangan koleksi semakin mendapat tempat di pasaran.
Menurut pakar industri, kejayaan sebegini mampu menyumbang kepada pertumbuhan KDNK sektor kreatif, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, dan menjadikan Malaysia sebagai hub animasi serantau.
Kejayaan EATM2 juga menandakan permulaan baharu bagi animasi tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa. Tayangan di Singapura dan Indonesia serta sambutan yang memberangsangkan dari negara jiran membuktikan kandungan tempatan mempunyai daya saing di luar negara. Usaha strategik ini bukan sahaja memperluas capaian audiens tetapi juga memperkukuh jenama Malaysia dalam landskap hiburan global.
Jika dahulu kita hanya menonton animasi luar negara, kini rakyat Malaysia bukan sahaja menonton tetapi turut berbangga dengan hasil karya anak tempatan. Ejen Ali The Movie 2 menjadi bukti bahawa industri animasi tempatan telah memasuki fasa kematangan — dengan naratif kuat, kualiti teknikal cemerlang dan model perniagaan yang lestari.
Dengan sokongan berterusan daripada penonton dan pelaburan strategik dari pelbagai pihak, tiada yang mustahil untuk Malaysia melahirkan lebih banyak animasi bertaraf antarabangsa.
#AniMY #ejenalithemovie2 #BanggaKaryaTempatan #EkonomiKreatifMalaysia