HTAA bakal hospital pengajar latihan perubatan sukan

- Advertisement -

KUANTAN – Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, bakal menjadi hospital pengajar pertama di Pantai Timur yang menyediakan pusat latihan bagi Program Latihan Kepakaran (PLK) Perkhidmatan Perubatan Sukan bermula tahun hadapan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, perkara itu sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk diusulkan kepada pihak Universiti Malaya (UM) bagi mendapatkan pengiktirafan.

Katanya, setakat ini UM adalah satu-satunya pusat pengajian tinggi menawarkan Sarjana Kepakaran dalam bidang perubatan sukan.

“Sebaik sahaja mendapat pengiktirafan, HTAA akan mula menerima penuntut atau pelatih untuk menjalani latihan beserta beberapa pakar sebagai tenaga pengajar.

“Setakat ini, terdapat empat hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang turut mendapat pengiktirafan iaitu Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Ini bermakna HTAA akan menjadi hospital kelima yang bakal mengikut jejak sebagai hospital pengajar dan sekali gus menjadi hospital pertama di Pantai Timur mempunyai pusat latihan perkhidmatan perubatan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program 1st National Clinical Exercise Testing Symposium (NACETS) 2023: An Introduction to Cardiopulmonary Exercise Testing (CORT) di bangunan Klinik Pakar, HTAA, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, sejak unit perubatan sukan ditubuhkan di HTAA terdapat peningkatan kira-kira lima peratus pesakit mendapatkan perkhidmatan itu.

Katanya, sehingga kini terdapat dua orang pakar perubatan sukan ditempatkan di unit itu.

Perkhidmatan perubatan sukan mula diperkenalkan di HTAA secara rasminya pada April 2021.

Bidang perubatan ini, menawarkan perkhidmatan rawatan, pemulihan dan pencegahan kecederaan muskuloskeletap akut atau kronik, program rehabilitasi sebelum dan selepas pembedahan sukan, ujian kecerdasan, konsultasi perubatan sukan dan banyak lagi.

tamat

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat