Bekas Menteri Rayu Mahathir-Anwar Hentikan Sandiwara Siapa Jadi PM

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Pergelutan dalaman Pakatan Harapan (PH) berkaitan janji peralihan kuasa telah menjadi bualan terbuka, sekaligus merosakkan imej gabungan parti itu.

Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik kemelut perebutan kuasa itu telah mewujudkan defisit kepercayaan rakyat kerana dilihat lebih mengutamakan cita-cita peribadi berbanding negara.

Beliau melalui laman Facebook sebentar tadi berkata rakyat mahukan pemimpin yang fokus bekerja untuk negara dan bukan sebaliknya.

“Mahu tidak mahu, dua tokoh besar Pakatan Harapan iaitu Tun Dr Mahathir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu segera mencari cara untuk memperbaharui gandingan mantap mereka dengan melupakan segala kemelut masa lalu.

“Kedua-dua tokoh ini tidak asing dalam landskap politik Malaysia. Kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing.

“Sekarang, hayat Pakatan Harapan sangat bergantung kepada kedua-dua tokoh ini. Jika tidak, Pakatan Harapan akan terus menjadi pembangkang sampai bila-bila,” memetik kenyataan yang dimuatnaik beliau itu.

Menurut Maszlee, kedua tokoh tersebut mempunyai kekuatan tersendiri namun tanpa Mahathir adalah mustahil untuk Anwar membentuk kerajaan.

“Yang jelas, walaupun tanpa 8 kerusi dari Warisan, kekuatan asas PH yang berada di tahap 114 tetap masih cukup untuk membentuk kerajaan.

“Namun perlu diingat, penerimaan dan kesediaan Warisan untuk bersama PH adalah faktor Tun Dr Mahathir. Tanpa Tun Dr Mahathir, tidak ada jaminan bahawa 8 kerusi tersebut boleh dituntut sebagai kerusi PH.

“Untuk 98 kerusi yang dimenangi oleh PH di Semenanjung pula, 13 daripadanya ialah sumbangan dari Bersatu.

“Secara kesimpulannya, tanpa Tun dan Bersatu, kerusi yang dimenangi adalah 85. Dalam kata lain, kerusi Semenanjung yang menjadi kekuatan blok Dato’ Seri Anwar Ibrahim ialah 85.

Maszlee turut menjelaskan Anwar perlu membuktikan beliau mempunyai aura yang lebih hebat dari Mahathir sekiranya ingin menjadi Perdana Menteri.

“Yang pasti, untuk mengambil alih kerajaan pusat, dan menjadi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan beliau mampu meraih sekurang-kurangnya 95 kerusi dari Semenanjung sebagai bekalan untuk dibawa berunding dengan blok Borneo.

“Di samping itu, beliau perlu membuktikan kepada rakyat bahawa beliau mempunyai aura yang lebih hebat daripada Tun Dr Mahathir, dengan mampu menjinakkan Warisan, dan jangan lupa dengan PBB, GPS dan TYT Sarawak yang mempunyai citarasa dan maharnya sendiri untuk dibawa berunding.

“Sehingga hari ini, manusia yang paling mampu menjinakkan ketiga-tiga kategori ini ialah Tun Dr Mahathir. Beliau telah membuktikannya sebelum ini, dan beliau yang terlihat paling ‘credible’ untuk melakukannya.

“Persoalannya, dengan ketidaktentuan dan tanpa aura Tun Dr Mahathir, mampukah Dato’ Seri Anwar Ibrahim memimpin Pakatan Harapan dan menang lagi pada PRU15 nanti?

Bekas menteri pendidikan itu turut merayu agar Mahathir-Anwar segera tamatkan sandiwara perebutan kuasa tersebut.

“Saya merayu dan menyeru semua pihak untuk mengutamakan kepentingan negara berbanding cita-cita peribadi. Ia bukan tentang siapa PM, tetapi ia tentang negara yang kita cintai ini. Ia tentang aspirasi rakyat terbanyak.

“Sekiranya perdebatan tentang siapa PM ini terus menjadi bualan terbuka dan tidak ditamatkan, PH akan terlihat mempunyai krisis dalaman yang tak sudah, momentum akan terus hilang dan akhirnya, kita telah membiarkan negara ini terus ditadbir oleh Kerajaan yang korup dan rosak.

“Sudah sampai masanya untuk kita tamatkan sandiwara ini, mencari titik pertemuan segera untuk terus berganding bahu dan kembali mentadbir negara,” ujarnya lagi.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat