KOTA KINABALU, – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kesediaan gabungan itu untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah akan datang, sekiranya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dimuktamadkan.
Menurut Ketua Menteri Sabah itu, GRS sejak awal konsisten dengan pendirian bahawa parti-parti tempatan Sabah perlu menjadi tulang belakang dan peneraju kerajaan negeri, tanpa menafikan peranan penting parti-parti nasional dalam kerangka politik negara.
“Jika keputusan PH dan BN untuk bekerjasama dalam PRN Sabah adalah muktamad, maka GRS bersedia bergerak sendiri dan memberi tumpuan untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan lain.
“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi majoriti rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hajiji turut menegaskan bahawa perjuangan GRS adalah demi kestabilan politik dan kebajikan rakyat, dan beliau berulang kali menyatakan keperluan memperkukuhkan kerajaan negeri GRS-PH sedia ada.
“Kerajaan negeri sedia ada merupakan satu bentuk kerjasama yang telah menyumbang kepada kekuatan keseluruhan kerajaan perpaduan persekutuan.
“Menyisihkan aspirasi tempatan dalam landskap politik Sabah bukanlah sejajar dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Jelasnya lagi, kepimpinan tertinggi GRS akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan halatuju gabungan itu menjelang PRN. Beliau juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti dalam pentadbiran negeri untuk mendapatkan pandangan mereka.
Kenyataan Hajiji dikeluarkan sebagai tindak balas kepada pengumuman BN dan PH pagi tadi mengenai kerjasama kedua-dua parti tersebut dalam PRN Sabah tanpa menyebut peranan GRS.
Pagi tadi Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan bahawa PH dan BN bersetuju untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah yang perlu diadakan sebelum akhir tahun ini.
Keputusan itu dibuat selepas satu pertemuan antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
PH merupakan rakan sekutu dalam kerajaan negeri pimpinan Hajiji, manakala BN bersama Warisan berada di blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah.
Bagaimanapun keempat-empat parti ini bagaimanapun adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.-SUARA.TV