KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda DAP Melaka Cassel Krishnan menyindir Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh ekoran bantahan kerasnya terhadap cadangan agar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding jumlah kerusi yang sama dalam pilihan raya negeri di Melaka.
Cassel mempersoalkan adakah bantahan Akmal itu kerana bimbang kerusi DUN Merlimau disandang Akmal ditandingi DAP,
“Apabila akar umbi DAP mengusulkan untuk PH secara gabungan politik bertanding kerusi yang sama jumlah dengan rakan-rakan kerajaan perpaduan, kenapa Akmal tiba-tiba goyang?
“Adakah dia risau DAP akan bertanding di DUN Merlimau?” soal Cassel dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Cassel juga berkata sebagai parti yang menghormati prinsip demokrasi, DAP menerima dan menghormati pandangan sembilan cawangan tersebut kerana ia mewakili suara akar umbi.
Namun, katanya lagi, keputusan muktamad berkenaan pembahagian kerusi akan ditentukan oleh Majlis Presiden Harapan dan gabungan politik yang mungkin dibentuk bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Jangan terlalu jump the gun (mendahului) untuk buat keputusan untuk BN. Fokus dulu atas kerja demi rakyat.
“Kalau Akmal terima situasi Kerajaan Perpaduan dengan ikhlas hati, bagi saya tiada apa-apa masalah untuk terima cadangan iaitu kita boleh tanding bersama, dengan jumlah kerusi yang sama rata.
“Tetapi sekiranya Akmal tidak selesa dengan formula perpaduan, lebih baik kata sekarang dan jangan minta lagi jentera PH membantu semasa kempen PRK di kerusi-kerusi Umno,” katanya.
Cassel turut mengingatkan Akmal yang PH pada PRN 2023 pernah memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di kerusi Dusun Tua di Selangor walaupun ia kubu kuat DAP.
“Itu sudah cukup membuktikan komitmen kami kepada formula perpaduan. Tambah menariknya, ia merupakan salah satu daripada dua kerusi yang Umno menang di Selangor,” katanya lagi.
Semalam, Akmal menyuarakan rasa tidak senang terhadap cadangan agar BN dan PH masing-masing bertanding separuh daripada 28 kerusi DUN di Melaka.
Ini selepas China Press melaporkan sembilan cawangan DAP di Melaka sebulat suara meluluskan resolusi menyokong strategi “14+14” untuk pilihan raya negeri akan datang — satu langkah yang jika dilaksanakan, memerlukan BN melepaskan sebahagian kerusi yang kini dipegangnya.
“Jawapan saya kepada DAP mudah sahaja. Dulu rundingan kerusi semasa PRN enam negeri kamu cukup susah nak berikan kerusi kamu yang menang kepada BN ketika itu.
“Kali ini senang-senang sahaja nak kerusi yang kami dah menang. Maka kerusi yang BN menang tidak akan sama sekali untuk diberikan kepada PH.
“Jika nak juga,kita bertanding di tempat yang sama. Mudah sahaja. Untuk beri kamu, tidak sama sekali, dan boleh teruskan bermimpi,” kata Akmal.