Sistem Garis Masa Bukti Ketelusan SPRM Jalankan Siasatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sistem garis masa yang diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan ketelusan badan itu dalam menjalankan siasatan terutama membabitkan kes berprofil tinggi dan berkepentingan umum.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata ia secara tidak langsung mengurangkan keraguan dan tohmahan pihak luar terhadap badan itu, termasuk dakwaan menyembunyikan sesuatu disebabkan agenda tertentu.

“Inisiatif ini menunjukkan ketelusan SPRM dalam siasatan kes khususnya yang berprofil tinggi dan berkepentingan umum termasuk kes orang kenamaan, ahli politik, kartel, sindiket dan kes yang membabitkan rasuah dalam jumlah mega.

“Ia juga dapat menyenangkan pihak media dan umum untuk mengikuti perkembangan kes menarik yang sudah dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCW mengulas inisiatif yang julung kali diperkenalkan SPRM iaitu sistem garis masa membabitkan kes yang sedang dikendalikan badan itu.

Ia bagi memudahkan orang ramai meneliti perjalanan lengkap, siasatan dan perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi dan menarik perhatian umum.

Pada masa sama, Jais berkata, orang ramai perlu cakna mengenai prosedur kerja SPRM termasuk isu kelewatan dalam kes sebelum ini dan pemberian maklumat yang terhad.

“Harus diingat, Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, menjamin kerahsiaan sesuatu aduan dan siasatan sehingga orang yang tertuduh dituduh di mahkamah atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang.

“Jadi, orang ramai harus faham undang-undang negara dan mengapa SPRM selalunya tidak mendedahkan butiran kes sewaktu siasatan masih dijalankan melainkan memberi pengesahan.

“Itu pun selalunya kerana ia sudah disebarkan oleh pihak lain dalam media atau media sosial,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, media melaporkan mengenai kes tertentu bagi mengelak daripada sebarang kekeliruan, penyebaran berita palsu dan tidak sahih.

Jais turut berpandangan inisiatif yang amat baik itu wajar dilaksanakan agensi penguat kuasa lain.

Sebenarnya, dengan adanya sistem berkenaan, SPRM kini berada bersama-sama dengan agensi penguat kuasa anti-rasuah lain di peringkat antarabangsa seperti Pejabat Penipuan Berat (SFO), United Kingdom, SFO New Zealand dan Suruhanjaya Anti Rasuah Nasional (NACC) yang turut membentangkan kronologi kes siasatan dalam portal rasmi masing-masing.

“Pendedahan kronologi kes juga dipaparkan dalam laman web Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung kes yang disiasat oleh badan masing-masing.

“Namun, terpulang kepada badan penguatkuasa yang lain untuk berbuat demikian mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat