KUALA LUMPUR- Sebuah entiti swasta akan mengambil alih Digital Nasional Bhd yang dimiliki kerajaan sebaik sahaja syarikat tujuan khas kementerian kewangan itu, mencapai liputan rangkaian 5G sebanyak 80 peratus kawasan berpenduduk.
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Ali Hanafiah Mohd Yunus juga berkata, selepas itu peruntukan penyediaan perkhidmatan 5G disalurkan menerusi dua entiti swasta.
“Entiti A akan mengambil alih DNB, di mana ia akan menyambung semula operasi dan pelaksanaan.
“Entiti B akan bermula dari awal,” katanya dalam temu bual dengan Bernama TV.
Hanafiah berkata kakitangan DNB akan kekal bersama Entiti A.
“Apabila Entiti A mengambil alih DNB, kerajaan akan menarik balik semua pemilikannya. Ia akan menjadi entiti swasta. Ia bukan lagi milik kerajaan,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan bersetuju membenarkan penyedia perkhidmatan 5G kedua, dengan peralihan kepada dwi rangkaian yang mana dimulakan pada Fasa 2 pelancaran rangkaian 5G.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ini hanya akan berlaku apabila 80 peratus liputan ke kawasan berpenduduk dicapai oleh DNB.
Ali Hanafiah berkata kerajaan akan memastikan akan wujud ‘padang permainan’ yang sama rata apabila perkhidmatan 5G disediakan oleh kedua-dua entiti itu.
Syarat akan dikenakan untuk memastikan kedua-dua entiti menyediakan perkhidmatan internet pada kelajuan yang sama, dan pada harga yang sama, serta untuk memastikan tiada pengguna tertinggal lebih teruk.
“Jika entiti A mengambil alih caj DNB sebanyak RM0.13 sen untuk 1 GB data, maka entiti B akan mengenakan caj yang sama. Tetapi jika entiti B akan menawarkan sesuatu yang lebih murah, itu terpulang kepada mereka.
“Dari segi kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman, apa yang dikenakan ke atas entiti A akan dikenakan ke atas entiti B pada masa yang sama. Jadi akan ada ‘padang permainan’ yang sama rata,” katanya.