‘Revolusi Demokrasi’ Akan Berulang Pada PRU-15

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim percaya ‘Revolusi Demokrasi’ yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu akan kembali berulang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu memberitahu, ia berikutan perjuangan menentang golongan kleptokrasi yang mencuri dan merompak wang rakyat dan wang negara masih belum selesai.

Memetik Utusan Malaysia menurut beliau, perkara itulah yang berlaku pada tarikh ini empat tahun lalu, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air.

“Pada hari ini, 9 Mei 2022 genaplah empat tahun telah berlalu ‘Revolusi Demokrasi’ berlaku di Malaysia. Ketika itu landskap politik Malaysia mengalami perubahan radikal tanpa tumpah darah. Ia berlaku melalui kuasa rakyat yang diterjemah di peti undi.

“Empat tahun lalu, rakyat ingin melihat kerajaan BN tumbang di Putrajaya dan di seluruh negara, dan hal itu berlaku.

“Keajaiban mungkin berlaku lagi. Rakyat Malaysia yang patriotik akan bangkit menyelamatkan negara ini. Gelombang ‘Revolusi Demokrasi’ rakyat akan berulang sekali lagi di peti-peti undi dalam PRU-15 nanti,” katanya dalam kenyataan, di Pasir Gudang pada Isnin.

Bagaimanapun, Hassan berkata, fenomena itu tidak boleh terjadi begitu sahaja dengan sendiri tetapi tugas semua rakyat yang cintakan tanah air perlu berusaha bagi menjadikan harapan tersebut satu kenyataan yang turut membawa erti revolusi sosial.

“Rakyat dapat melihat bekas Perdana Menteri ditangkap; menteri dan timbalan menteri ditangkap; Pengerusi Felda ditangkap; Pengerusi Tabung Haji ditangkap, ‘First Lady’ isteri bekas Perdana Menteri juga ditangkap.

“Mereka disoal siasat, diheret ke mahkamah dan didakwa mengikut lunas undang-undang. Satu kemenangan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tambah Hassan, walaupun ‘Revolusi Demokrasi’ itu hanya bertahan selama 22 bulan akibat Langkah Sheraton tetapi peristiwa kebangkitan rakyat di peti undi tidak dapat dipadam dalam sejarah tanah air serta tidak dapat dihakis daripada memori rakyat.

“Empat tahun telah berlalu dan kini PRU-15 akan tiba tidak lama lagi. Persoalannya adakah ‘Revolusi Demokrasi’ dipeti undi akan berlaku sekali lagi, jawapan saya positif. Ya, ia akan berlaku,” jelasnya.