Hapus peranan PM dalam urusan lantik hakim – Tengku Maimun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mencadangkan penghapusan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.

Menurut beliau, sejak kebelakangan ini terdapat cadangan supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengeluarkan peranan perdana menteri dalam proses pelantikan hakim.

“Perubahan sebegini, pada pandangan saya, akan mengukuhkan lagi ketelusan dan keadilan dalam proses pemilihan serta memastikan pelantikan hakim benar-benar berasaskan merit dan bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik,” katanya dalam ucapan di Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta.

Mengimbas kembali krisis kehakiman 1988 yang menjadi titik hitam kepada kebebasan badan kehakiman, Tengku Maimun berkata proses pelantikan hakim merupakan elemen penting dalam menjamin kebebasan institusi itu.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses pelantikan yang melibatkan rundingan antara perdana menteri, ketua hakim serta Yang di-Pertuan Agong, beliau berkata peruntukan sedia ada itu dianggap tidak mencukupi.

Justeru, kata beliau, Akta JAC 2009 diwujudkan bagi memperkukuh lagi kerangka perlembagaan sedia ada.

Katanya, JAC bertanggungjawab menghantar senarai calon bagi jawatan tertinggi kepada perdana menteri, yang kemudian akan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, undang-undang itu memerlukan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun, Perdana Menteri boleh mengenepikan cadangan JAC, terutama dalam memutuskan pelantikan empat jawatan kehakiman tertinggi.

Tengku Maimun berkata, krisis kehakiman 1988 menunjukkan bahawa walaupun perlindungan perlembagaan menyediakan asas kukuh kepada kebebasan institusi kehakiman, namun ia tidak semestinya mencukupi untuk melindungi badan itu daripada tekanan luar.

Beliau berkata krisis tersebut – yang menyaksikan pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Salleh Abas, dan penggantungan lima hakim Mahkamah Agung – telah mencalarkan kepercayaan awam terhadap kebebasan badan kehakiman.

“Krisis itu meninggalkan titik hitam yang mendalam terhadap institusi ini, membangkitkan kebimbangan berkenaan campur tangan politik dalam urusan kehakiman,” memetik laporan FMT semalam.

Salleh dilaporkan dipecat selepas beberapa keputusan mahkamah yang dianggap tidak memihak kepada kerajaan ketika itu yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tengku Maimun berkata selepas 1988, badan kehakiman dilihat ‘kehilangan kebebasan, semangat dan mungkin juga kewibawaan undang-undang serta moral untuk membuat keputusan’.

Bagaimanapun, katanya, institusi kehakiman negara kini telah kembali menegakkan kebebasannya dan mengembalikan peranannya sebagai pelindung tunggal kepada Perlembagaan Persekutuan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat