Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Negara kehilangan tokoh pemikir Islam – KPT

KUALA LUMPUR, 9 Mac 2026 – Dunia akademik dan peradaban ilmu kehilangan seorang tokoh besar apabila Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas kembali ke rahmatullah pada 8 Mac 2026.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada dunia keilmuan, khususnya dalam bidang pemikiran dan tamadun Islam.

Menurut KPT, Allahyarham dikenali sebagai seorang sarjana ulung yang banyak menyumbang kepada pembangunan tradisi keilmuan Islam serta pembinaan kerangka intelektual yang berteraskan nilai dan pandangan alam Islam.

Dilahirkan pada tahun 1931, Syed Muhammad Naquib Al-Attas merupakan tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang sangat dihormati di dalam dan luar negara.

Antara sumbangan paling berpengaruh beliau ialah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang memberi impak besar dalam wacana pemikiran Islam moden serta dalam pembangunan sistem pendidikan yang berteraskan nilai-nilai Islam.

Gagasan tersebut merangkumi pelbagai cabang keilmuan termasuk falsafah, teologi, sejarah, metafizik, bahasa, sastera dan seni.

Selain itu, Allahyarham turut memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi pendidikan tinggi negara. Beliau terlibat dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta mengasaskan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) pada tahun 1987 yang menjadi pusat rujukan penting dalam pengajian tamadun dan pemikiran Islam.

ISTAC kemudiannya melahirkan ramai sarjana dan ilmuwan dari pelbagai negara yang menyumbang kepada perkembangan kajian peradaban Islam di peringkat antarabangsa.

Allahyarham juga merupakan antara tokoh penting dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menyumbang kepada pembentukan dasar, falsafah serta identiti universiti tersebut.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besarnya kepada dunia akademik dan ketamadunan, Allahyarham telah dikurniakan gelaran Profesor Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong pada 23 Oktober 2024.

Pengurniaan tersebut menjadikan beliau Profesor Diraja kedua negara selepas Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang menerima pengiktirafan sama pada tahun 1978.

KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap jasa, pemikiran dan legasi intelektual yang ditinggalkan Allahyarham yang disifatkan akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi sarjana, ilmuwan dan mahasiswa.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat