KUALA LUMPUR – Rumah Bangsa jenama baru, tetapi isinya tetap sama bahkan tuan punya rumah pun tuan yang sama.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Tan Sri Annuar Musa, beliau sudah pun berada dalam Rumah Agama, Rumah Bangsa. Rumah Negara atau apa saja nama.
Namun katanya, yang penting apa dasar anutan tuan punya rumah dan rasanya ia tetap rumah lama.
“Apa pun saya hargai ajakan terbuka kepada mangsa pemecatan dan penggantungan kononnya untuk memperkasa parti, ternyata belum cukup perkasa rupanya.
“Insya-Allah kita masing-masing punya landasan dalam berjuang. Buatlah pilihan. Bagi saya yang penting adalah keredaan Allah…jalan yang betul.
“Tiada satu sebab untuk saya meninggalkan Pas. Saya tidak pernah meninggalkan Umno. Saya istiqamah ingin melihat Umno memimpin penyatuan umat Melayu Islam. Malangnya Umno memilih PH- DAP,” tegas bekas Setiausaha Agung Umno itu lagi.
Annuar memaklumkan beliau ditanya bertubi tubi mengenai Rumah Bangsa, namun sebelum ini beliau tidak menjawab kerana takut ada yang tersinggung.
“Saya dibuang tanpa tunjuk sebab, tanpa notis, tanpa peluang mengetahui apa salah saya, tanpa proses membela diri.
“Itu balasan pimpinan Umno terhadap perjuangan saya 45 tahun dalam Umno dan sebagai pengasas penaja menghidupkan Umno selepas diharamkan dengan nombor ahli 0000000124.
“Saya tidak berparti beberapa bulan. Saya menilai masa depan orang Melayu dan Islam serta parti-parti yang ada untuk jadi pilihan atau kekal tanpa parti.
“Saya menilai secara jujur di mana dan ke mana Umno nak dibawa. Saya cuba meramal masa depan perjuangan orang Melayu dan Islam di Malaysia.
“1 Rejab 2023 sewaktu berada di Mekah, saya menemui jawapan..Satu-satunya parti yang memperjuangkan siasah, dakwah dan tarbiah serta kukuh dasarnya pada Islam adalah Pas… lalu menerusi satu panggilan telefon kepada SUA Pas saya maklumkan saya reda untuk berjuang bersamanya. Saya tidak memilih duduk tanpa parti. Saya memilih untuk terus berjuang.
“Setahun kemudian ternyata ramalan saya tepat. Rakyat mengangkat Pas menjadi parti terbesar di Parlimen. Hampir 200 pemimpin Pas bergelar wakil rakyat dan menguasai negeri, Alhamdulillah,” ujar bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.
Menurut Annuar, di dalam Pas beliau diberi ruang untuk menyumbang sekadar mampu.
“Saya bersyukur walau peranan saya kecil saja. Saya bukan wakil rakyat, saya tidak memimpin cawangan atau kawasan atau dalam saf pegawai tinggi parti seperti semasa dalam Umno tetapi sudah lebih dari mencukupi untuk saya menumpang berjuang demi Islam dan orang Melayu serta rakyat keseluruhannya.
“Hari ini setelah lebih 40 tahun dalam Umno dan lebih 3 tahun dalam Pas, dapatlah saya tegaskan tidak ada satu sebab pun saya untuk meninggalkan jemaah ini.
“Wallahuaklam..selamat beribadat sepanjang Ramadan semoga beroleh nikmat Lailatul Qadar..Insya-Allah,” ucapnya.



