Jika bukan kerana Muhyiddin, Bersatu tak akan dapat wang berjuta – pendakwaan

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa parti Bersatu tidak akan mendapat sumbangan jutaan ringgit jika Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dilantik menjadi Perdana Menteri.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pendakwaan akan bergantung kepada bukti dokumentari, keterangan terus dan keterangan ikut keadaan dalam membuktikan kes mereka.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memberitahu, mereka akan memanggil kira-kira 30 orang saksi termasuk bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Kami menyatakan bahawa wang berjuta-juta ringgit sememangnya tidak masuk ke dalam poket tertuduh (Muhyiddin) sendiri tetapi telah masuk ke dalam akaun sekutunya iaitu Parti Bersatu yang mana tertuduh adalah Presiden pada waktu itu dan juga Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan secara tidak langsung kepada Projek Jana Wibawa ini.

“Kami akan juga menunjukkan Menteri Kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit oleh tertuduh dan Menteri Kewangan tidak mendapat apa-apa keuntungan di dalam membuat tindakan tersebut.

“(Malah) sekutu Menteri Kewangan ketika itu iaitu Umno juga tidak mendapat apa-apa keuntungan. Keterangan-keterangan akan menunjukkan (jika) tidak kerana tertuduh menjadi Presiden Bersatu dan juga pada masa yang sama menjadi Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, parti Bersatu tidak akan mendapat sumbangan berjuta-juta ringgit,” katanya memetik Utusan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika membaca ucapan pembukaan kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM232.5 juta yang dihadapi oleh Muhyiddin, 79.

Bekas Presiden Perikatan Nasional (PN) itu didakwa di Mahkamah Sesyen pada 10 Mac 2023 sebelum kes itu dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan pada 16 Jun 2025.

Salah satu pertuduhan yang di­kenakan terhadap Muhyiddin didakwa dilakukan antara hari pertama beliau me­ngangkat sumpah sebagai Per­­­dana Menteri Kelapan iaitu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Bagi empat pertuduhan membabitkan salah guna ke­dudukan, Muhyiddin, 76, di­dakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menyalahgunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut.

Suapan tersebut adalah da­ripada tiga buah syarikat serta seorang individu bernama Datuk Azman Yusoff.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,

Sementara itu, bagi pertuduhan membabitkan peng­ubahan wang haram, Muh­yiddin yang juga bekas Pengerusi PN menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat