CYBERJAYA, – Program Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang diadakan serentak di 19 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.
Program tersebut menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan belia dan peniaga yang mengambil peluang mendapatkan pendedahan mengenai amalan penggunaan internet secara selamat. Sepanjang penganjuran program, pengunjung dilihat aktif berinteraksi di reruai kempen bagi mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan siber serta menyertai sesi penerangan yang disediakan.
Sambutan positif ini mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan digital, lebih-lebih lagi ketika aktiviti dalam talian seperti pembelian dan urusan kewangan semakin rancak sepanjang bulan Ramadan. Inisiatif ini sekali gus memperkukuh usaha memperkasa orang ramai dengan pengetahuan serta amalan penggunaan internet secara selamat dalam kehidupan seharian.
Sepanjang kempen berlangsung, hampir 10,000 Kit Ramadan yang mengandungi risalah maklumat kempen, pek kurma, air mineral dan butang lencana telah diedarkan kepada pengunjung di semua lokasi bazar yang terlibat. Program tersebut turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk sesi interaktif keselamatan internet, demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa, pendedahan mengenai ancaman penipuan dalam talian, salah guna media sosial serta langkah pencegahan jenayah siber.
Dalam masa sama, hampir 1,000 pengunjung turut mendaftar sebagai Wira Internet Selamat, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pengguna dalam memastikan ruang digital lebih selamat.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di IWK Ecopark, Pantai Dalam, manakala Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menghadiri program di Bazar Ramadan Temenggong, Kulai, Johor. Selain itu, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut mencemar duli menghadiri program Santuni Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 dan diberikan penerangan mengenai kempen tersebut.
MCMC menegaskan komitmennya untuk memastikan persekitaran digital negara kekal selamat, berintegriti dan dipercayai selaras dengan aspirasi kerajaan dalam membangunkan ekosistem komunikasi dan multimedia yang mampan serta berdaya tahan.



