PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji kejayaan Wisma Putra dalam menaikkan imej Malaysia di persada antarabangsa, selaras dengan dasar Kerajaan MADANI.
Menurut Anwar, prestasi cemerlang Kementerian Luar dapat dilihat berdasarkan pengalaman beliau dalam lawatan ke luar negara, terutamanya di kalangan negara anggota ASEAN.
“Terima kasih kepada warga Kementerian Luar kerana berjaya mengangkat usaha dan ikhtiar yang membanggakan, meskipun dibebani dengan tanggungjawab yang lebih besar berbanding beberapa tahun lalu.
“(Berdasarkan) pengalaman saya dalam lawatan ke luar negara, termasuk ASEAN dan beberapa negara lain, saya melihat prestasi Wisma Putra sangat membanggakan, bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Luar di sini, hari ini.
Anwar turut menekankan bahawa kepimpinan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan negara luar.
“Saya tak bergurau, ini adalah perkara serius. Apabila Perdana Menteri menjemput, tidak semua duta hadir. Tetapi apabila Menteri Luar yang buat jemputan, saya lihat ramai duta dan wakil negara luar hadir tanpa gagal.
“Ini membuktikan kekuatan dan pengaruh Menteri Luar. Tahniah dan sekali lagi terima kasih,” katanya.
Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan diplomasi Malaysia dalam mengukuhkan kedudukan negara di pentas antarabangsa serta mengeratkan hubungan dengan rakan strategik global.