CYBERJAYA – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapor Utusan.
Menurut laporan itu, ia telah disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi petang tadi.
Bagaimanapun laporan itu berkata, Azam tidak dapat mengesahkan bilakah Presiden Bersatu itu akan dibebaskan dengan jaminan sama ada petang ini atau malam ini.
“Bagaimanapun, beliau (Muhyiddin) akan hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk didakwa,” katanya.
Setakat pukul 6.40 petang tadi, belum ada tanda-tanda Muhyiddin akan keluar daripada bangunan SPRM.
Dalam laporan sama, tinjauan di luar bangunan SPRM mendapati, lebih 40 pengamal media pelbagai agensi masih menanti Muhyiddin.
Difahamkan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dijangka mengadakan sidang akhbar sejurus keluar daripada bangunan SPRM.