Tun Faisal gembira KJ tanding Putrajaya, beri manfaat kepada penduduk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz tidak menolak kemungkinan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk bertanding kerusi Parlimen di situ pada pilihan raya akan datang.

Katanya, tindakan meletakkan seorang tokoh nasional sebagai calon UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan memberikan manfaat kepada penduduk Putrajaya.

Tun Faisal berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Khairy yang juga bekas ketua Pemuda parti Melayu itu bakal diletakkan sebagai calon PRU15.

“Saya mengalu-alukan pemimpin berjawatan menteri atau yang berpotensi menjadi menteri untuk bertanding di sini kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada warga Putrajaya,” katanya memetik MalaysiaNow.

Sebelum ini laporan mendakwa Khairy bakal bertanding di Putrajaya pada PRU15, pertama kali di luar Rembau, Negeri Sembilan yang dimenanginya sebanyak tiga kali.

Ini selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempersiapkan diri untuk menggantikan Khairy di Rembau pada PRU15.

Putrajaya yang mempunyai majoriti pengundi terdiri daripada penjawat awam, dan disebabkan itu menjadi kubu kuat UMNO apabila memegang tampuk persekutuan, tidak pernah mempunyai ahli Parlimen lain selain Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bagaimanapun, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan mahu meletakkan anaknya sebagai pengganti di Putrajaya selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Disember lalu atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan dan dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara.

Kini beliau dalam proses rayuan dan perlu memberikan laluan kepada Tun Faisal untuk memimpin UMNO Bahagian Putrajaya tetapi tidak dilakukannya.

Dalam pada itu, Tun Faisal mengesahkan laporan disiplin yang dibuat terhadap dirinya sememangnya dirancang dengan teliti oleh Ku Nan yang juga ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Katanya sebelum berhujah mempertahankan dirinya ke pada tribunal yang dilantik UMNO, beliau meminta untuk melihat surat aduan yang dibuat kepadanya bagi mengesahkan pertuduhan yang dikemukakan.

“Selepas dipertimbangkan barisan tribunal yang terdiri daripada tiga orang dan dua peguam saya diberi peluang untuk melihat dan ternyata sangkaan saya tepat,” katanya.

“16 muka surat yang saya bacakan kepada barisan tribunal itu termasuk bukti yang saya perolehi daripada ahli lain serta mengambil kira situasi yang turut dilakukan pihak lain namun tiada tindakan diambil, jelas menunjukkan sabitan aduan ke atas saya langsung tidak relevan dan tiada kes lah sebenarnya.”

Tun Faisal yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, sehingga kini keputusan tribunal tersebut tidak diketahui bila akan diumumkan.

Katanya, terdapat usaha untuk menghasut dan “membeli” semua ketua cawangan dan ahli jawatankuasa supaya menandatangani surat aduan secara bersama terhadapnya tetapi tidak 100 peratus berjaya.

“Saya dimaklumkan oleh mereka yang hadir tentang ucapan Ku Nan, dan saya ada beri penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan mengenai saya dalam kumpulan WhatsApp ketua-ketua cawangan Putrajaya dan AJK Bahagian Putrajaya.

“Mereka semua mengeluh dengan sikap seorang ketua Bahagian yang bercakap dalam nada bukan seorang pemimpin dengan menaburkan kata-kata fitnah dan cuba memupuk perasaan marah dan benci terhadap saya.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat