SEREMBAN,— Tujuh daripada lapan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan dilaporkan mahukan tindakan tegas diambil terhadap Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin, termasuk pemecatan daripada parti.
Menurut sumber dalaman parti, pendirian itu dizahirkan menerusi satu memorandum rasmi yang dihantar kepada Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang antara lain mengisytiharkan hilang kepercayaan sepenuhnya terhadap kepimpinan Hamzah.
Memorandum tersebut, yang ditandatangani pimpinan negeri dan Ketua-Ketua Bahagian, mendakwa Hamzah gagal menjalankan tanggungjawab kepimpinan serta dikaitkan dengan beberapa tindakan yang dianggap menjejaskan kestabilan dan imej parti.
Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk kegagalan membendung gerakan Akuan Berkanun (SD) yang mencetuskan ketegangan dalaman, penglibatan dalam rundingan luar parti tanpa mandat kepimpinan tertinggi serta tindakan yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan parti dan Kod Etika serta Tatakelakuan Ahli.
Sumber itu turut memaklumkan bahawa tujuh Ketua Bahagian yang menyokong tindakan tersebut terdiri daripada pimpinan di Rasah, Tampin, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Seremban.
Dalam memorandum berkenaan, pimpinan negeri turut mendesak Lembaga Disiplin menyegerakan siasatan dan mengambil tindakan tegas demi memulihkan disiplin serta kewibawaan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mereka juga dilaporkan menegaskan bahawa kegagalan bertindak akan mewujudkan preseden berbahaya yang boleh melemahkan autoriti Perlembagaan parti dan menghakis keyakinan ahli akar umbi.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Hamzah berhubung memorandum berkenaan.
Perkembangan terbaharu ini dilihat berpotensi menambah tekanan terhadap kepimpinan tertinggi BERSATU ketika parti berdepan cabaran dalaman serta persiapan menghadapi gelanggang politik akan datang.



