IPOH, — Tekanan terhadap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin, semakin memuncak apabila 14 Ketua Bahagian BERSATU Negeri Perak tampil mengemukakan memorandum rasmi mendesak beliau dipecat serta-merta daripada jawatan Timbalan Presiden dan juga keanggotaan parti.
Memorandum yang dihantar kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu menyifatkan desakan tersebut sebagai tegas, muktamad dan tidak boleh ditawar-menawar. Pimpinan negeri Perak menegaskan tindakan itu bukan berasaskan sentimen atau perbezaan pandangan politik, sebaliknya atas dakwaan salah laku kepimpinan berat dan pelanggaran Perlembagaan parti secara sistematik.
Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk kegagalan memelihara disiplin organisasi, pembiaran terhadap tindakan penyokong yang didakwa mencetuskan ketidakstabilan dalaman parti, serta penglibatan dalam gerakan Akuan Berkanun (SD) yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Presiden.
Memorandum tersebut turut menyenaraikan beberapa isu lain termasuk kegagalan menyelesaikan kemelut dalaman di Perak, kegagalan sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah, kegagalan menangani krisis dalam Sayap Bersekutu serta kegagalan menjalankan peranan sebagai Ketua Pembangkang secara berkesan. Turut dibangkitkan ialah dakwaan penglibatan dalam rundingan dengan pihak luar tanpa mandat kepimpinan tertinggi serta percubaan menggagalkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2025.
Pimpinan negeri berkenaan memberi amaran bahawa sebarang kelewatan atau keengganan bertindak oleh MPT akan menghakis keyakinan akar umbi serta menjejaskan kestabilan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Perkembangan ini menyusul selepas kepimpinan BERSATU Negeri Sembilan mengemukakan memorandum berasingan yang mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Hamzah dan mendesak tindakan disiplin tegas diambil. Dengan dua negeri tampil secara terbuka dalam tempoh terdekat, krisis dalaman parti kini dilihat memasuki fasa lebih serius.
Memorandum Negeri Perak itu ditandatangani oleh Ketua-Ketua Bahagian Tambun, Batu Gajah, Ipoh Barat, Bagan Datuk, Tanjong Malim, Taiping, Lenggong, Lumut, Parit Buntar, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Gerik, Beruas dan Parit.
Antara nama yang terlibat ialah Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun), Mohader Ahmad Mohammad Ayob (Batu Gajah), Mohammad Iskandar Abdul Rahman (Ipoh Barat), Dato’ Hj. Azhar Anuar (Bagan Datuk), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (Tanjong Malim), Hj. Kader Maideen Hussain (Taiping), Khairul Azuan Mohamed Noor (Lenggong), Mohd Azrien Mohd Salleh (Lumut), Hj. Md Nayan Salleh (Parit Buntar), Ahmad Lutpi Abdul Wahab (Sungai Siput), Dr. Hashim Bujang (Kuala Kangsar), Ruslan Shaari (Gerik), Ahmad Faisal Mansor (Beruas) dan Hishammudin Tajuddin (Parit), selain turut disokong oleh kepimpinan negeri dan sayap Srikandi.
Setakat ini, Hamzah belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung memorandum tersebut.



