ALOR SETAR – Membuang kucing dalam guni yang berikat sebelum mencampaknya ke dalam tong sampah.
Itu tindakan tidak berperikemanusiaan pihak tertentu yang dikesan menyeksa haiwan, dengan video penyelamatan kucing itu tular di media sosial.
Ia diselamatkan oleh dua pekerja kontraktor syarikat pembersihan E-idaman Sdn Bhd selepas mendengar bunyi mengiau.
Menurut pekerja terbabit, Aziz Dahlan, 48, kejadian berlaku di Pekan Kuala Nerang pada 9 pagi, semalam ketika dia bersama rakan sekerja bertugas mengangkut sampah.
Katanya, ketika itu dia terdengar bunyi kucing mengiau dan menyangka ada kucing di bawah lori.
“Saya cuba mencari bunyi itu dan menyedari ia sebenarnya dari dalam guni yang berikat dengan tali… di dalam timbunan sampah.
“Saya terus mengambil guni itu dan membukanya, sebelum menyedari ada seekor kucing di dalamnya dan terus melepaskan ia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Aziz berkata, dia tidak menyangka video dikongsi di media sosial tular dan kesal apabila ada orang yang sanggup berlaku kejam terhadap haiwan yang tidak berdosa.
Perkongsian video itu mendapat reaksi warganet yang rata-ratanya mengecam tindakan kejam membuang kucing itu. – Hmetro