Sam, Tilla kongsi rasa bahagia rumah tangga

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pelakon filem Polis Evo, Shaheizy Sam mengungkap rasa syukur dan bertuah dipertemukan dengan isteri yang juga pelakon Syatilla Melvin sewaktu meraikan ulang tahun perkahwinan kelima mereka, semalam.

Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad berkata, Syatilla adalah insan yang penuh sabar melayan kerenahnya sejak mereka berkawan sehinggalah berkahwin.

Katanya, meskipun menyedari sikapnya tidak begitu baik, namun Syatilla tidak pernah jemu berada di sampingnya.

“Kalau diimbas kembali, sebelum kahwin saya seorang lelaki yang ego dan pentingkan diri sendiri. Apa yang saya nak, saya akan dapatkan. Saya ada perangai dan pendirian sendiri.

“Saya dan Tilla dah kenal lama. Dia adalah insan yang banyak bersabar dengan saya. Ikut sahaja kerenah saya, sampailah kami berkahwin.

“Bila dah berkahwin, macam-macam fasa sudah kami harungi bersama. Kadang-kadang saya terfikir, walaupun perangai tak berapa elok, Tilla tetap ada bersama saya.

“Saya nampak pengorbanan dia ketika mengandung dan melahirkan dua anak kami. Dari situ, saya semakin matang. Sejujurnya, perkahwinan buat saya banyak berubah,” katanya ketika meraikan ulang tahun perkahwinan itu bersama peminat secara maya menerusi saluran YouTube, malam tadi.

Sementara itu, Syatilla berkata, sebagai isteri sudah menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa berada di samping suami meskipun memerlukan kesabaran yang tinggi dalam berdepan segala hal berbangkit.

“Orang ada kata, lima tahun pertama perkahwinan adalah fasa yang paling teruk dan diuji.

“Dari situ, kita kenal pasangan macam mana dan nak buat pilihan untuk masa depan rumah tangga. Saya dan Sam dah kenal 11 tahun, alhamdulillah kami dah lepas fasa itu dan tak ada pun rasa teruk macam orang cakap.

“Tidak dinafikan kesabaran adalah kunci yang penting sebab setiap rumah tangga ada dugaan  berbeza begitu juga kami yang tidak terlepas dengan ujian. Tapi, alhamdulillah tidak seteruk seperti yang orang takut-takutkan itu.

“Paling penting dalam rumah tangga ini adalah komunikasi antara suami isteri. Kita kena ikut cara yang betul dan berkomunikasi dengan pasangan, Insha-Allah tak timbul masalah yang besar,” katanya.

Menerusi sambutan yang diraikan bersama peminat, Sam dan Syatilla memilih lima individu bertuah untuk diraikan bersama pasangan masing-masing dengan membawa mereka bercuti di Golden Sands Resort, Pulau Pinang.

“Saya dan Tilla kini bergabung menghasilkan sebuah perniagaan jamu yang diberi nama Pengaseh. Jadi, kami nak meraikan juga peminat yang sudi bersama memeriahkan ulang tahun kelima perkahwinan kami ini.

“Sepanjang menghasilkan Pengaseh, kami banyak belajar dan berharap menjadi pendorong kepada pasangan suami isteri di luar sana untuk menjana pendapatan bersama sebagai stokis dan agen Pengaseh,” katanya.

Sam mendirikan rumah tangga dengan Syatilla pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iatu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy, kini berusia setahun.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat