KUALA LUMPUR: Mula berjinak-jinak dengan muzik hip-hop sejak usia 13 tahun, penyanyi, Kayda, akhirnya berjaya pengalaman baru menghasilkan lirik bersama penyanyi rap terkenal, Altimet.
Kayda berkata, dia dan Altimet bekerjasama menghasilkan lagu duet terbaharu yang menggandingkannya dengan Nur Fatima berjudul Galeri.
“Ia seperti impian menjadi kenyataan. Saya anggap satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan penyanyi rap disegani dalam industri hiburan. Jujurnya, inilah pengalaman berharga buat saya. Terima kasih Altimet kerana sudi memberi peluang ini.
“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Altimet. Sebelum ini, saya selalu tulis lirik untuk lagu sendiri. Salah satu impian saya mahu belajar menulis lirik dengan penyanyi rap yang sukses. Alhamdulillah, saya dapat belajar banyak perkara daripada Altimet.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan Altimet lagi, itupun jika Altimet sudi,” katanya.

Mengulas single Galeri, Kayda atau nama sebenarnya, Wan Nur Khaleda Aziz berkata, single berkenaan ditulis dan digubah oleh Altimet, Omar K, Audi Mok, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga.
Katanya, dia juga teruja dapat bekerjasama dengan penyanyi pop berpengalaman, Nur Fatima.
“Saya tak berfikir dua kali apabila diberitahu mengenai projek lagu ini. Saya terus bersetuju kerana saya salah seorang peminat Nur Fatima. Saya tahu Nur Fatima penyanyi yang bagus.
“Bagi saya, projek duet ini adalah idea baik untuk kami. Jujurnya, saya teringin bekerja dengan penyanyi pop. Secara kebetulan, Nur Fatima balik ke Malaysia ketika menyertai program Gegar Vaganza, tahun lalu, jadi inilah peluang terbaik buat saya,” katanya.
Penyanyi yang tampil dengan single solo berjudul Autopilot itu berkata, dia banyak menghabiskan masa mencipta lagu baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu.
“Saya ambil peluang menulis lebih banyak karya. Dalam masa yang sama, saya nak belajar. Saya juga bekerjasama dengan sepupu untuk merakamkan lagu.
“Lagipun, saya seorang sudah biasa duduk rumah, jadi tiada masalah berkurung ketika PKP ini. Cuma, saya rindu membuat persembahan secara langsung,” katanya yang akan tampil dalam Konsert Minggu Ini di RTM bersama ibunya pada 6 Februari lalu.
Menerusi konsert itu, Kayda akan menjadi penyanyi jemputan dan menyampaikan single Autopilot dan lagu malar segar, Sinaran versi remix.
Berita Harian