KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar memberi gambaran kemungkinan Pejabat Peguam Negara akan merayu ke Mahkamah Persekutuan atas keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam kes semakan kehakiman membabitkan Titah Addendum.
Bercakap dalam wawancara bersama Radio Bernama, Shamsul berkata, “Selepas ini kita tidak tahu, mungkin, mungkin Peguam Negara akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pula. Kalau Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan Mahkamah Rayuan, maka barulah permohonan semakan kehakiman itu di mahkamah Tinggi.”
Shamsul juga mengingatkan kes ini boleh berakhir sekiranya Peguam Negara membuat rayuan dan Mahkamah Persekutuan memutuskan tiada kes dan tidak membenarkan semakan semula.
Isnin lepas panel tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan majoriti 2-1 untuk membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Sementara itu, seorang peguam menyatakan adalah tidak mustahil untuk Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Mohd Najib berikutan keputusan 2-1 di Mahkamah Rayuan.
“Keputusan 2-1 tersebut membuka ruang lebih luas kepada Mahkamah Persekutuan melihat pelbagai sudut dan tidak mustahil majoriti panel mahkamah Persekutuan akan bersetuju dengan pendapat Hakim Datuk Azizah Nawawi yang menjadi pandangan minoriti dalam keputusan di Mahkamah Rayuan, isnin lepas.- SUARATV