KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan kes seorang wanita diugut anak seorang menteri telah lengkap dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan diserahkan kepada TPR Isnin lalu untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Jelas,beliau, tindakan itu menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
“Polis sudah merakam percakapan semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan, manakala siasatan kes ini dirujuk TPR pada 6 Januari lalu selepas laporan polis yang dibuat oleh pengadu pada 1 Januari lalu.
“Pada masa ini, pihak pendakwaan telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk mendapatkan laporan pemeriksaan kandungan wanita yang dikatakan diugut oleh anak menteri terbabit,” katanya.
Razarudin berkata, siasatan awal yang dijalankan juga mendapati anak menteri berkenaan dilaporkan sudah menikahi wanita yang dilaporkan mengandung seperti yang tular pada September tahun lalu.
Justeru, kata beliau, pihaknya sedang menunggu pengesahan sijil perkahwinan mereka bagi memperkukuhkan siasatan yang dibuat.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa PDRM tidak akan melindungi sesiapa pun yang didapati terbabit dalam apa juga kesalahan meskipun ia membabitkan menteri atau ahli keluarga mereka.
“Siasatan adalah telus dan pihak polis akan menghadapkan mereka yang bersalah ke muka pengadilan,” ujarnya lapor Kosmo! pada Khamis.
Terdahulu tular di aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember tahun lalu.
Menurut Razarudin, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.