PM Saksi Majlis Pemeteraian MoU Mexim Malaysia dan Indonesia Eximbank

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Mexim) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembiayaan Ekspor Indonesia (Indonesia Eximbank) untuk memperkukuh kerjasama dalam pelaburan dan pembiayaan.

Dalam kenyataan bersama pada Isnin, kedua-dua pihak menjelaskan jalinan perniagaan antara mereka akan diperkukuh di samping memupuk persefahaman bersama dan penyelarasan rapat melalui pertukaran maklumat, pengalaman dan hubungan perniagaan.

Mexim dan Indonesia Eximbank juga mengenal pasti potensi pertumbuhan dan peluang pelaburan antara Malaysia dan Indonesia, dan berminat mengekalkan dialog yang aktif dan saluran komunikasi yang diperkemas untuk rujukan projek yang mempunyai kepentingan bersama.

Mereka juga akan meneroka peluang latihan dan peminjaman dalam kredit, pengunderaitan risiko dan pendokumenan selain mempertimbangkan program capaian pelanggan bersama untuk memudahkan pertumbuhan perdagangan dua hala.

Menurut kenyataan bersama itu, pada majlis pemeteraian MoU tersebut, Mexim diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Arshad Ismail manakala Indonesia Eximbank diwakili Pengarah Eksekutif, Riyani Tirtoso.

Pemeteraian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Pengerusi Mexim Datuk Azman Mahmud.

Kenyataan itu memaklumkan Arshad turut berkata Mexim dan Indonesia Eximbank berkongsi sebuah hubungan yang diharapkan dapat mencapai tahap yang lebih tinggi kerana kedua-dua pihak menghargai peluang untuk bekerjasama dan memperkukuh kerjasama yang ada.

“Saya menganggap Indonesia Eximbank sebagai rakan kongsi yang sangat penting dan berharap dapat mengekalkan dialog dan saluran komunikasi yang aktif untuk perniagaan berterusan dan projek rujukan,” katanya.

Sementara itu, Riyani pula berkata MoU itu akan membolehkan kedua-dua institusi tersebut mengatasi cabaran pembangunan ekonomi dengan menyediakan produk inovatif berorientasikan pasaran secara mampan dari aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Kerjasama ini juga bertujuan meningkatkan kapasiti kedua-dua pihak supaya Indonesia dan Malaysia mampu membuka akses pasaran yang lebih luas, yang bukan sahaja antara kedua-dua negara, malah kita juga akan bekerjasama memanfaatkan pasaran dengan negara lain.

“Bersama-sama, kami akan menyokong pelaburan perniagaan dan kekal berdaya tahan dalam pasaran yang kompetitif,” katanya.

Mexim ditubuhkan untuk menyediakan pembiayaan kredit, takaful kredit eksport dan perkhidmatan jaminan di samping kemudahan untuk menyokong eksport dan import barangan, perkhidmatan serta projek dan pelaburan luar negara dengan penekanan kepada pasaran bukan tradisional.

Selain itu, objektif utama Indonesia Eximbank adalah meningkatkan pertumbuhan eksport negara dan membantu pengeksport mengembangkan kapasiti perniagaan mereka.

Kedua-dua bank dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan masing-masing. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat